Tuesday March 7, 2017
9:49 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Skuad Harimau Malaysia dijadual menentang Korea Utara pada 28 Mac di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang dalam perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019. — Foto ReutersSkuad Harimau Malaysia dijadual menentang Korea Utara pada 28 Mac di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang dalam perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019. — Foto ReutersKUALA LUMPUR, 7 Mac — Keputusan gelanggang berkecuali perlawanan antara Harimau Malaysia menentang Korea Utara bagi Kelayakan Piala Asia 2019 hanya diumumkan selepas mendapat persetujuan Persatuan Bola Sepak Korea Utara.

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John berkata, badan induk bola sepak negara itu mempunyai hak untuk menentukan gelanggang perlawanan berkecuali bagi perlawanan tersebut.

“Keputusan akan diketahui dalam minggu ini. Sekiranya pasukan Korea Utara tetap mahu beraksi di Pyongyang, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan bagi tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Windsor menjelaskan faktor keselamatan tetap menjadi keutamaan bagi kedua-dua pasukan berkenaan.

Katanya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagaimanapun perlu mengemukakan alasan kukuh berkaitan permohonan gelanggang berkecuali bagi perlawanan itu supaya keputusan adil dapat diputuskan.

“Perhubungan kami untuk maklumat tambahan hanya menerusi FAM. Apabila mereka telah mengemukakan kesemua maklumat yang perlu, kami akan membuat keputusan,” katanya.

Perlawanan antara Harimau Malaysia dan Korea Utara dijadualkan pada 28 Mac akan berlangsung di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang.

Permohonan gelanggang berkecuali bukan perkara baharu dalam arena bola sepak kerana negara seperti Israel, Palestin, Syria dan Arab Saudi pernah dibenarkan bermain di gelanggang neutral atas sebab tertentu sebelum ini.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata tindakan kerajaan Korea Utara yang menghalang sembilan kakitangan Kedutaan Malaysia serta ahli keluarga keluar daripada negara itu hari ini mengukuhkan lagi alasan FAM untuk tidak menghantar skuad kebangsaan ke Pyongyang.

“Saya dimaklumkan, AFC telah meminta maklumat tambahan, mengapa penilaian keselamatan itu dimohon? Jadi saya rasa dengan apa yang berlaku hari ini telah memberi jawapan kepada AFC,” katanya.

“Jika mereka (Korea Utara) boleh berbuat demikian kepada staf kedutaan kami, tiada jalan bagi kami untuk menghantar pasukan bola sepak kami ke sana. Apa yang AFC minta semalam, sudahpun terjawab oleh pihak Korea Utara sendiri dengan tindakan mereka itu,” kata Khairy.

Khairy berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementeriannya di Pusat Belia Antarabangsa, Bandar Tun Razak di sini.

Keputusan FAM tidak membenarkan skuad kebangsaan beraksi di Pyongyang merujuk kepada keputusan mesyuarat jemaah menteri minggu lepas atas dasar faktor keselamatan.

Sabtu lepas, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengisytiharkan Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol sebagai ‘Persona Non Grata’ dan diberi tempoh 48 jam untuk meninggalkan Malaysia.

Ia susulan tindakan biadap duta itu membuat tuduhan melulu dan tidak berasas terhadap negara ini berhubung siasatan kes pembunuhan warga Korea Utara Kim Chol, bulan lepas.

Duta itu enggan memohon maaf dan menarik balik kenyataannya walaupun sudah diberi peluang untuk berbuat demikian.

Pembunuhan Kim Chol, yang dilaporkan media dengan meluas sebagai Kim Jong-nam, abang pemimpin utama Korea Utara Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2) pada 13 Feb lepas, sebelum beliau berlepas ke Macau. — Bernama

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline