Thursday March 10, 2016
7:32 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mendedahkan beliau telah mendapat maklumat dari Kuala Lumpur adanya usaha mahu menjatuhkannya sebagai menteri besar. — Foto fail Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mendedahkan beliau telah mendapat maklumat dari Kuala Lumpur adanya usaha mahu menjatuhkannya sebagai menteri besar. — Foto fail KUALA TERENGGANU, 10 Mac — Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal Datuk Seri Ahmad Said mengemukakan cadangan usul undi tidak percaya terhadapnya, sebagai menteri besar Terengganu, dibuat atas dorongan pihak tertentu.

“Saya telah diingatkan supaya berhati-hati dan akan ada gerakan luar yang mahu menjatuhkan saya.

“Saya mendapat maklumat tersebut dari Kuala Lumpur,” kata Ahmad Razif ketika berucap pada majlis perjumpaan khas Barisan Nasional (BN), Veteran Umno dan Mubarak Terengganu di sini malam tadi.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang kecoh semalam, berikutan cadangan usul undi tidak percaya itu, bagaimanapun berjalan lancar hari ini.

Malah, Adun Kijal yang mengemukakan cadangan itu langsung tidak kelihatan sehingga selesai sesi penggulungan titah ucapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan DUN ke-13 itu.

Ahmad Razif dalam ucapannya berkata agendanya kini adalah untuk memastikan BN Terengganu terus kuat dan mencipta sebanyak mungkin kejayaan agar BN mencatat kemenangan besar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

“Apa berlaku kepada saya sekarang tidak penting, jika ditakdirkan saya terpaksa berkorban, saya rela demi memastikan Umno dan BN terus kekal berkuasa pada PRU-14 nanti,” katanya.

Ahmad Razif menyifatkan tindakan Ahmad itu sebagai satu hikmah kerana beliau kini dapat mengetahui siapa musuh daripada dalam yang cuba menjatuhkan BN di Terengganu.

Sementara itu, biro penerangan Persatuan Siswazah Terengganu (Persist), dalam satu kenyataan, berharap semua pihak perlu berlapang dada, memberi ruang dan peluang serta bersama-sama Ahmad Razif membangunkan Terengganu.

“Pemimpin yang baik memimpin masyarakat ke arah penyatuan, dan bukanlah perpecahan.

“Mari kita semua, bawa negeri kita agar mampu menjadi negeri terhebat, terbaik dan natijah untuk ini adalah rakyat yang mendapat impak positifnya,” menurut kenyataan itu. — Bernama  

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline