Saturday May 20, 2017
5:28 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Polis menahan pengasas JJPTR Johnson Lee (tengah, baju kelabu) dan dua pembantu kanannya pada 16 Mei 2017.Polis menahan pengasas JJPTR Johnson Lee (tengah, baju kelabu) dan dua pembantu kanannya pada 16 Mei 2017.KUALA LUMPUR, 20 Mei — Kira-kira 400,000 individu dipercayai menjadi mangsa penipuan skim pelaburan kontroversi JJ Poor to Rich (JJPTR) , kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata mangsa terdiri daripada 300,000 warga tempatan dan selebihnya warga asing. 

Katanya berdasarkan siasatan awal jumlah pelaburan paling rendah dibuat oleh pelabur adalah RM4,500 dan ada mangsa yang sanggup melabur sehingga RM100,000.  

"Setakat ini, polis hanya menerima kurang daripada 10 laporan polis membabitkan skim pelaburan itu. 

"Kita mahu lebih ramai mangsa tampil membuat laporan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kesedaran Jenayah Komersial 2017 sempena sambutan Hari Polis ke-210 di sini, hari ini.

Selasa lepas, tiga lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dengan sindiket skim pelaburan JJPTR, termasuk dalangnya ditahan di Petaling Jaya, Selangor bagi membantu siasatan.  

Sementara itu, Acryl Sani berkata secara purata nilai kerugian bagi kes penipuan antaranya melibatkan pelaburan skim cepat kaya dan  'Love Scam' mencecah RM1 bilion setiap tahun. 

"Saya percaya nilai kerugian berkenaan lebih tinggi berikutan ada mangsa tidak tampil untuk membuat laporan polis. 

"Mangsa yang terlibat tidak perlu berasa malu untuk membuat laporan kerana polis akan menjaga rahsia dan sensitiviti maklumat mereka," katanya. — Bernama

LAGI VIDEO DI MMOTV

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline