Last updated Saturday, December 03, 2016 5:33 pm GMT+8

Wednesday November 30, 2016
10:27 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Bas persiaran yang membawa 33 murid dan empat guru SJKC Jit Sin, Bukit Mertajam remuk selepas merempuh tiang plaza tol Ipoh Selatan hari ini. — Foto BernamaBas persiaran yang membawa 33 murid dan empat guru SJKC Jit Sin, Bukit Mertajam remuk selepas merempuh tiang plaza tol Ipoh Selatan hari ini. — Foto BernamaIPOH, 30 Nov ― Sepuluh murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Jit Sin A, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, cedera ringan apabila bas persiaran dinaiki mereka melanggar tembok konkrit pondok di Plaza Tol Ipoh Selatan arah utara, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Supt Wan Jamil Wan Chik berkata dalam kejadian 5 petang tadi, bas membawa 39 penumpang termasuk seorang pemandu serta seorang pemandu pelancong dan empat guru, dikatakan dari Cameron Highlands ke Butterworth, Pulau Pinang.

“Rombongan membawa 33 murid Tahun Enam itu ingin singgah di Ipoh untuk makan malam.

“Setiba di lokasi kejadian, tiba-tiba brek bas tidak berfungsi menyebabkan kenderaan itu bergesel dengan dua lori kecil yang menunggu untuk membayar tol sebelum merempuh tembok berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pemandu dan kelindan lori berkenaan tidak mengalami kecederaan manakala murid yang cedera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, untuk menerima rawatan.

Seorang guru pengiring, Ng Kim Tee, 56, yang ditemui di tempat kejadian berkata semasa menghampiri plaza tol berkenaan, pemandu bas terbabit memberitahu brek kenderaan itu tidak berfungsi.

“Saya duduk di belakang pemandu dan sewaktu menghampiri plaza tol, pemandu beritahu tiada brek berulang kali, namun akibat panik saya tidak sempat memberitahu murid-murid untuk berbuat apa-apa,” katanya.

Pemandu bas persiaran itu, Razman Yaakub, 28, berkata dia hanya menyedari brek bas tidak berfungsi ketika tiba di plaza tol berkenaan.

“Apabila menghampiri plaza tol, saya memperlahankan kenderaan dan ketika itu saya menyedari brek bas gagal berfungsi, saya cuba menarik brek tangan serta brek angin, namun ia turut tidak berfungsi.

“Saya tiada pilihan lain, melainkan melanggar tiang untuk mengurangkan bilangan yang tercedera kerana pada waktu itu banyak kereta di setiap lorong tol,” katanya. ― Bernama

LAGI VIDEO DI MMOTV

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline