Last updated Wednesday, February 22, 2017 12:25 am GMT+8

Wednesday January 11, 2017
6:42 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Syamsul Yusof membawa watak ustaz dalam ‘Munafik’ ketika merawat Maria, lakonan Nabila Huda, yang dirasuk makhluk halus. ― Foto ihsan Skop Productions Syamsul Yusof membawa watak ustaz dalam ‘Munafik’ ketika merawat Maria, lakonan Nabila Huda, yang dirasuk makhluk halus. ― Foto ihsan Skop Productions KUALA LUMPUR, 11 Jan ― Industri filem tempatan 2016 mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan apabila sebanyak 46 buah filem dihasilkan sepanjang tahun.

Berdasarkan data Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), setakat 26 Disember lalu, kutipan tiket mencatat jumlah RM78.6 juta, meningkat daripada RM52.8 juta pada 2015.

Sepuluh daripadanya berjaya mengutip jualan lebih RM1 juta. Daripada jumlah ini, tiga daripadanya mengutip lebih RM10 juta.

Berikut senarai 10 filem paling popular sepanjang tahun lalu seperti di laman web rasmi Finas:

1. Munafik (RM17.04 juta)

Filem seram arahan dan lakonan Syamsul Yusof mencatatkan jumlah kutipan paling tinggi. Ia ditayangkan semalam 49 hari mulai 25 Februari 2016. Baru empat hari tayangan, filem Skop Productions ini sudah mencatat lebih RM2 juta kutipan.

Munafik menang besar di Festival Filem Malaysia (FFM), antaranya filem terbaik bahasa kebangsaan dan Nabila Huda muncul pelakon wanita terbaik.

Selain FFM, Syamsul pula merangkul pengarah terbaik di Anugerah Skrin. Ekoran kejayaan itu, Syamsul berhasrat menghasilkan sekuelnya Munafik 2.

2. Ola Bola (RM16.6 juta)

Filem inspirasi kegemilangan bola sepak Malaysia era 1980-an mengisahkan cabaran yang dihadapi pemain pasukan kebangsaan menjelang kelayakan ke Olimpik di Moscow, Rusia.

Filem arahan Chiu Keng Guan dan terbitan Astro Shaw itu menampilkan muka-muka baru JC Chee, Luqman Hafidz, Saran Kumar Manokaran.

Ditayangkan selama 39 hari mulai 28 Januari, filem ini menang empat kategori FFM iaitu busana terbaik, skor muzik asal terbaik, lagu tema asal terbaik dan anugerah khas juri.

3. Boboiboy (RM15.74 juta)

Baru empat hari tayangan sejak 3 Mac, filem animasi pertama Animonsta Studios arahan Mohd Nizam Abd Razak berjaya mengutip RM3.5 juta.

Ditayang selama 45 hari, animasi daripada siri televisyen Media Prima versi dwibahasa juga mendapat sambutan di Indonesia, Brunei dan Singapura.

4. Upin & Ipin: Jeng, Jeng, Jeng (RM4.84 juta, masih ditayang)

Filem ini masih ditayangkan sejak 24 November lalu dan jumlah kutipan ini dicatat sehingga 26 Disember.

Filem animasi kedua terbitan Les' Copaque selepas Geng: Pengembaraan Bermula pada 2011. Filem daripada watak animasi kanak-kanak kembar ini mempunyai pengaruh besar di Indonesia.

5. Rock Bro! Kembali ke Pangkal Jalan (RM4.67 juta)

Filem yang mengisahkan zaman kegemilangan rock era 1980-an dan 1990-an diarah sutradara popular Mamat Khalid. Filem produksi Primeworks Studios berjaya mengutip angka terbabit dalam tempoh 34 hari tayangan sejak 27 Oktober lalu.

Filem ini daripada trilogi kumpulan rock Rimba Bara yang dibintangi Khir Rahman, Pekin Ibrahim, Kamarool Yusof dan Sofi Jikan.

6. Mat Moto: Kami Bukan Mat Rempit (RM4.39 juta)

Karya sulung pelakon utama Pekin Ibrahim diarahkan bersama Syafiq Yusof. Turut dibintangi Datuk Rosyam Nor, Faizal Hussein, dan Shaheizy Sam, filem terbitan Skop Productions berjaya menggondol anugerah FFM.

Pekin memenangi pelakon lelaki terbaik dan cerita asal terbaik, sementara Falisha Crossley memenangi pelakon baru wanita terbaik. Ia ditayangkan selama 26 hari mulai 14 Januari.

7. Huat The Fish (RM3.31 juta)

Satu-satunya filem Mandarin yang berjaya masuk senarai 10 filem catat kutipan lebih sejuta ringgit. Ia ditayangkan selama 67 hari mulai 11 Februari.

Filem komedi arahan Yee Teik Yin dan Chieng Hein Onn yang mengisahkan empat sahabat dari Pulau Ketam menang penataaan seni terbaik FFM.

8. Aliff Dalam 7 Dimensi (RM1.63 juta)

Filem terbitan Astro Shaw mengisahkan Aliff (lakonan Izzue Islam), seorang pelajar universiti, yang memiliki saka dan boleh melihat entiti paranormal.

Diarahkan Faisal Ishak, ia turut dibintangi Juliana Evans, Alif Satar, Kaka Azraff dan Man Kadir. Ia ditayangkan selama 28 hari mulai 8 September.

9. Desolusi (RM1.3 juta, masih ditayang)

Mencatatkan angka kutipan ini dalam masa 19 hari. Baru sahaja ditayangkan 8 Disember lalu, filem arahan Shafiq Yusof mengisahkan Aiman (lakonan abangnya Syamsul Yusof) yang bosan diuji pelbagai musibah, lalu berdoa agar semua masalahnya hilang.

Keesokan hari, selepas terjaga tidur, Aiman mendapati hanya dia seorang sahaja berada di muka bumi dan membolehkannya membuat pelbagai perkara sesuka hati. Turut berlakon Bella Dally, Pekin Ibrahim dam Datuk Jalaluddin Hassan.

10. Juvana 3: Perhitungan Terakhir (RM1.24 juta)

Filem aksi remaja ini dihasilkan selepas Juvana (2013) dan Juvana 2: Terperangkap Dalam Kebebasan (2015). Arahan Faizal Ishak, ia diterbitkan oleh Filmscape dan Juita Viden.

Filem ini berdasarkan drama bersiri popular di TV3. Pelakon-pelakon utamanya termasuklah Johan As'ari, Zahiril Admin dan Adam Shahz.

LAGI VIDEO DI MMOTV

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline