Malay Mail Online

ProjekMMO

Siapa dalangi sindiket nelayan asing? — Raja Kamarul Bahrin

9 NOVEMBER — Selepas Program Gelombang Nelayan Nasional di Terengganu pada 14 Oktober lalu, yang dihadiri timbalan perdana menteri dan menteri pertanian, saya telah menyatakan soal pembaziran acara sebegitu dan juga perbelanjaan yang tinggi tidak akan menyelesaikan masalah sebenar nelayan.

Saya juga menyatakan penguatkuasaan berkesan dan membanteras campur tangan orang atasan isu nelayan Vietnam adalah amat penting. Perkara ini telah lama saya nyatakan kerana inilah keluhan nelayan sejak dahulu lagi.

2. Alhamdulillah semalam pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) telah mendedah beberapa sindiket “usahasama” orang tempatan, pegawai kakitangan penguatkuasa serta orang dan nelayan Vietnam. Tahniah saya ucapkan kepada pihak berkuasa berkenaan.

Tetapi sebenarnya tindakan ini baru permulaan proses yang panjang kerana saya percaya banyak lagi “pihak atasan” yang terlibat yang masih belum didakwa. Pada kebiasaannya kes-kes seperti ini hanya “ikan bilis” dikenakan tindakan. Sindiket sebegini telah lama berakar umbi di Malaysia dan mempunyai “god father” yang berpengaruh serta berkedukukan tinggi.

3. Persoalan sekarang adalah sejauh mana SPRM dan pihak berkuasa lain akan berusaha untuk mendedahkan dan menghapuskan sindiket haram nelayan asing ini untuk jangka masa panjang?

Isu ini sudah puluhan tahun berlaku dan bermula dengan masalah nelayan Thailand dan kini nelayan Vietnam pula. Atau adakah ini semata-mata gimik menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU 14)? Nelayan kita menuntut satu jaminan bahawa ia bukan hanya sekadar acara menjelang pilihan raya dan akan kembali lesu selepas pilihan raya berlalu.

Pendapatan daripada kecurian dan kehilangan 980,000 tan metrik tangkapan laut setahun dinilai di antara RM4 bilion hingga RM6 bilion. Jumlah ini terlalu lumayan untuk dilepaskan begitu sahaja oleh sindiket yang begitu kaya dan boleh membeli pengaruh orang atasan yang berkuasa. Mereka beroperasi dengan kerjasama pangkalan jeti khas di selatan Vietnam.

4. Sindiket ini, yang telah lama diperkatakan oleh nelayan tempatan, terlalu lama dibiarkan berleluasa serta berakar umbi. Ia akan memerlukan “political will”, azam yang kuat untuk dibasmikan dengan berkesan.

5. Saya dan rakan-rakan nelayan tidak percaya mereka yang telah ditangkap dan dinamakan tempoh hari berupaya merancang sendirian sindiket berharga berbilion ringgit ini tanpa bantuan orang atasan yang lebih tinggi kuasanya.

Sebab-sebabnya:

a) kemampuan mereka menawar rasuah setinggi RM100,000.00 kepada pegawai penguatkuasa maritim adalah bukti orang yang sangat kaya membiayai sindiket ini;

b) bagaimana seorang wanita sindiket warga Vietnam boleh mendapat gelaran Datuk menunjukkan pengaruh di peringkat tertinggi;

c) bagaimana nelayan haram Vietnam boleh mengetahui dan mengelak tangkapan bot penguatkuasa, sebaik sahaja nelayan tempatan membuat aduan, menunjukkan kebocoran maklumat di peringkat tertinggi;

d) kenapa kapal operasi haram nelayan Vietnam yang ditangkap boleh dibebaskan dalam waktu yang singkat dan hanya denda yang rendah dikenakan;

e) kenapa aktiviti sindiket haram bot kargo yang memindah ikan di tengah laut tidak dikenakan tindakan sewajarnya sehingga sekarang;

f) kenapa aduan dan cadangan nelayan tempatan diremehkan tanpa tindakan sepatutnya dan hanya dikenakan tindakan apabila pilihan raya sudah hampir;

g) kenapa aduan dan cadangan kami, ahli parlimen dan nelayan, yang dibuat di Parlimen sendiri sejak beberapa tahun lepas kepada beberapa menteri tidak diberi perhatian hinggalah kini baru bertindak.

Segala yang dilaporkan oleh media tentang tindakan yang baru diambil terhadap aktiviti haram ini membuktikan segala aduan kesalahan yang sudah lama dibuat nelayan tempatan selama ini benar dan tepat.

Persoalannya, kenapa sekarang baru mahu bertindak? Persoalannya juga, adakah PRU 14 faktor mempengaruhi tindakan ini sekarang? Persoalanya, adakah tindakan ini akan diteruskan dan membabitkan peringkat yang lebih tinggi dan berterusan sehingga selepas PRU 14?

Jika tindakan-tindakan ini diambil nanti, barulah boleh membuktikan betapa serius hasrat Datuk Seri Najib Razak untuk melihat Malaysia mencapai tahap rasuah sifar, “zero corruption”, seperti ucapan Bajet 2018 beliau.

Jangan seperti operasi menangkap pegawai dan lantikan kerajaan yang menyeleweng bantuan rumah nelayan miskin dua tahun lepas yang telah senyap berkubur selepas satu operasi sahaja. Tindakan itu sekadar melepas batuk di tangga.

Saya mencabar Datuk Seri Najib dan menteri pertanian, kedua-duanya berasal dari negeri nelayan Pantai Timur iaitu Pahang dan Terengganu, untuk membuktikan kesungguhan kerajaan membanteras rasuah sehingga mencapai tahap kosong rasuah seperti dijanjikan.

Mencuri hak rakyat memanglah salah. Tetapi mencuri daripada nelayan, golongan termiskin yang berpendapatan bawah RM460 sebulan, amat salah dan besar dosanya. Rakyat memerhati dan menanti tindakan seterusnya.

Atau adakah semua tindakan ini bermusim sempena PRU 14, seperti juga Program Gelombang Nelayan Nasional di Terengganu baru-baru ini? Gelombang yang hanya datang cara bermusim!

* Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad, seorang pemimpin kanan Parti Amanah Negara Terengganu, adalah ahli parlimen Kuala Terengganu.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online