Malay Mail Online

ProjekMMO

Tendang lagi belakang wanita, penganggur dipenjara pula setahun

Staf Bank Negara terduduk setelah jatuh akibat ditendang suspek seperti dirakam dalam video CCTV yang kini tersebar. KUALA LUMPUR, 10 Nov — Seorang lelaki yang pernah dipenjarakan tiga bulan kerana menendang seorang wanita, hari ini dikenakan hukuman penjara maksimum 12 bulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan sama terhadap wanita lain, Isnin lepas.

Majistret Rahni Kartini Abd Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Marmi Zabrin Mian, 34, selepas dia mengaku bersalah mencederakan Or Sui Lin, 34, dan melakukan serangan jenayah terhadap juruanalisa Bank Negara Malaysia (BNM) itu di jejantas Jalan Raja Laut, di sini, pada jam 1.30 tengah hari pada hari berkenaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM1,500 atau tiga bulan penjara bagi pertuduhan mencederakan manakala penjara maksimum tiga bulan bagi kesalahan melakukan serangan jenayah.

Penganggur itu diperintahkan menjalani kedua-dua hukuman itu secara serentak bermula dari  tarikh tangkap, Rabu lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan dan Seksyen 351 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Ketika pertuduhan kedua itu dibacakan, tertuduh yang berdiri di dalam kandang tertuduh  bertanya: “Macam mana serangan jenayah itu? Boleh beri contoh?”

Majsitret Rahni Kartini kemudian meminta jurubahasa membaca pertuduhan itu sekali lagi dan bertanya sama ada tertuduh faham atau tidak, lalu tertuduh menjawab: “ok ok, saya faham”.

Terdahulu, tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman penjara minimum atau denda kerana dia menanggung ibunya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikri Jaafar memohon hukuman pemenjaraan berbentuk pengajaran kerana tertuduh mempunyai empat rekod lampau mengikut Seksyen 32  iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan membabitkan mangsa wanita.

“Mangsa dalam kes ini adalah seorang wanita dan kejadian berlaku di tempat awam. Terdapat lima laporan polis dibuat terhadap tertuduh. 

“Dia masih menggunakan modus operandi sama iaitu menendang dari belakang terutamanya golongan wanita.

“Kalau mangsanya warga emas, ia akan mendatangkan kecederaan lebih buruk. Tertuduh masih tidak insaf walaupun telah menjalani hukuman penjara sebelum ini atas kesalahan sama,” katanya.

Sebuah video berdurasi 14 saat tular di laman media sosial memaparkan imej seorang lelaki dengan secara tiba-tiba menendang seorang wanita yang sedang menuruni tangga jejantas tersebut dan ia mendapat banyak komen negatif terutamanya golongan wanita.

Pada 15 September 2016, Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap tertuduh atas kesalahan menendang belakang Shakira Mohd Khalid, 28, seorang setiausaha di Bukit Aman, tanpa sebab di terowong pejalan kaki dari Jalan Cenderasari ke Dayabumi di sini. — Bernama