Malay Mail Online

ProjekMMO

Polis nafi tarik balik pengawal UTK untuk Dr Mahathir

Polis menafikan anggota UTK yang ditugaskan mengawal Tun Dr Mahathir Mohamad ditarik balik. — Foto oleh Yusof Mat IsaKUALA LUMPUR, 6 Nov — Dakwaan kononnya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia yang bertugas mengawal keselamatan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah ditarik balik adalah tidak benar, kata ketua polis negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata pihaknya masih mengekalkan anggota UTK bagi mengiring dan mengawal keselamatan Dr Mahathir termasuk di rumah. 

“Mana ada UTK (ditarik), polis masih kekalkan anggota UTK (mengawal keselamatan) untuk Dr Mahathir,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam tadi.

Mohamad Fuzi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan yang dimuat naik Dr Mahathir di laman sosialnya kononnya anggota UTK yang ditugaskan untuk mengawal keselamatannya telah ditarik balik pada Rabu lepas. 

Kenyataan dimuat naik bekas perdana menteri itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang menganggap tindakan itu keterlaluan. — Bernama