Malay Mail Online

ProjekMMO

Pemandu teksi ambil syabu, rempuh mati dua remaja

Dua penunggang motosikal maut dirempuh teksi, seorang daripadanya mati ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail (foto), Johor Baru. — Paparan skrin GooglePASIR GUDANG, 10 Nov — Dua penunggang maut ketika membaiki motosikal akibat dirempuh pemandu teksi yang dalam pengaruh dadah awal pagi tadi.

Pelajar 15 tahun mati di tempat kejadian akibat cedera tengkuk, manakala lelaki 19 tahun mati ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Baru.

Seorang lagi patah kaki dalam nahas di Jalan Pantai dekat sini apabila pemandu teksi, 38 tahun, terbabas pada jam 1.45 pagi tadi, lapor Harian Metro.

Ketua polis Johor Baru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata pemandu dari pusat bandar Johor Baru ke Pasir Gudang hilang kawalan.

“Teksi berkenaan kemudian melanggar tiga motosikal yang dipercayai berhenti di bahu jalan kerana membaiki motosikal mangsa berusia 15 tahun yang rosak,” katanya.

Pemandu itu, yang mengalami sakit di dada dan kaki, ditahan dan sudah disahkan positif dadah methamphetamine atau syabu.

Nahas itu disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.