Malay Mail Online

ProjekMMO

NGO: Tolak usul Bugis, Selangor ‘khianat sultan’

Persatuan Anak-anak Melayu Bugis Malaysia terkejut dengan keputusan Speaker DUN Hannah Yeoh (tengah) yang menolak usul membahaskan isu Bugis dan mengibaratkannya sebagai 'menderhaka' terhadap titah sultan. — Foto oleh Saw Siow FengSHAH ALAM, 10 Nov — Kerajaan Selangor disifatkan sebagai “penghapus” etnik Bugis oleh Persatuan Anak-anak Bugis apabila usul untuk membahaskan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa menghina golongan Bugis, ditolak Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Hannah Yeoh Tseow Suan pada Selasa.

Wakil Persatuan Anak-anak Melayu Bugis Malaysia, Raja Kamaruddin Raja Ab Wahid berkata pihaknya terkejut dengan tindakan Yeoh itu dan mengibaratkannya sebagai “menderhaka” kepada titah penzahiran kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini berhubung kenyataan bekas perdana menteri itu.

Beliau berkata Yeoh, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya sepatutnya sedar bahawa kedudukannya dalam DUN adalah atas perkenan Sultan Sharafuddin seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

“Menolak usul untuk membahaskan kenyataan tersebut dilihat sebagai pengkhianatan kepada Sultan Selangor. Malah sekiranya usul itu dibenar dibahas di dalam DUN, kami pasti ramai ADUN akan bersetuju supaya Dr Mahathir dikenakan tindakan sewajarnya oleh kerajaan Selangor.

“Sebab itulah Yeoh menolak usul berkenaan kerana bimbang ADUN PAS pastinya menjunjung titah penzahiran kemurkaan tersebut,” katanya kepada pemberita dalam demonstrasi aman yang disertai kira-kira 10 wakil persatuan itu, di hadapan pintu masuk DUN Selangor, di sini hari ini.

Semalam, ADUN Barisan Nasional (BN) Selangor menyerahkan memorandum kepada Sultan Sharafuddin bagi membantah tindakan DUN Selangor menolak usul membahaskan kenyataan Dr Mahathir yang didakwa menghina etnik Bugis.

Usul berkenaan dikemukakan ADUN Kuang, Datuk Abdul Shukor Idrus sebagai usul tergempar pada persidangan DUN kali ini namun ditolak Yeoh atas alasan, isu berkenaan tidak perlu disegerakan.

Dr Mahathir ketika berucap pada perhimpunan anjuran parti pembangkang di Petaling Jaya, 14 Okt lepas, cuba mengaitkan keturunan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai mungkin berasal daripada lanun Bugis.

Ekoran kenyataan itu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa murka dan amat kecewa dengan kata-kata itu yang dilihat sebagai cuba menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap etnik Bugis yang merupakan susur galur Kesultanan Selangor. — Bernama