Malay Mail Online

ProjekMMO

Lelaki rai Halloween, pakai kostum ala pengebom ditahan polis

Polis berkata suspek akan direman esok dan siasatan lanjut sedang dijalankan. ― Foto ihsan Facebook/BG CunKUALA LUMPUR, 10 Nov ― Seorang lelaki yang dipercayai berpakaian ala pengebom bunuh diri pada 28 Oktober lepas ditahan hari ini selepas dia tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dekat sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata suspek berusia 35 tahun yang berasal dari Sana’a, Yaman itu hadir menyerah diri kira-kira 6 petang ini.

“Suspek akan direman esok dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selasa lepas, Mohd Zani berkata pihak polis sedang menjejaki seorang lelaki yang berpakaian ala pengebom bunuh diri ketika menghadiri sebuah majlis sambutan Halloween di sebuah kondominium di Damansara di sini, pada 28 Oktober lepas.

Menurut Mohd Zani seorang penduduk di kondominium berkenaan memaklumkan kepada polis ada melihat lelaki memakai pakaian sedemikian ketika menaiki lif.

Kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. ― Bernama