Malay Mail Online

ProjekMMO

KWSP sahkan simpanan selamat, penama tidak bertindih

KWSP berkata jika terdapat sebarang keraguan data, akaun pencarum akan dibekukan secara automatik. ― Foto oleh Yusof Mat IsaKUALA LUMPUR, 11 Nov ― Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengesahkan simpanan akaun KWSP milik seorang wanita bernama Tan Swee Gek yang dilaporkan menghadapi masalah, adalah selamat dan penamaan teratur.

Semalam, Yong Kim Leong, suami kepada wanita berusia 55 tahun dari Nilai, Negeri Sembilan itu antara lain mendakwa nombor akaun KWSP milik Tan dikongsi pencarum lain yang turut dinamakan sebagai pewaris sedangkan sebelum ini isterinya meletakkan nama Yong dan anak lelaki sebagai waris.

“Semakan pihak KWSP mendapati simpanan KWSP Puan Tan adalah selamat dan teratur sehingga caruman bulan terkini dan penamaan yang dibuat pada 2012 masih sah dan berkuat kuasa,” menurut kenyataan KWSP semalam.

“Dakwaan bahawa seorang lelaki Melayu dari Kelantan yang dinamakan sebagai penama simpanan KWSP Puan Tan juga didapati tidak benar,” jelas KWSP.

Kenyataan itu berkata KWSP telah menghubungi pasangan itu bagi memberi penjelasan mengenai perkara yang dibangkitkan berserta segala bukti dokumentasi mengenai akaun dan penamaan.

“KWSP amat kesal atas segala kesulitan dan kebimbangan dialami Encik Yong dan isteri,” kata kenyataan itu sambil menambah KWSP sentiasa mengambil berat tentang integriti data yang dikendalinya.

KWSP secara automatik akan membekukan akaun pencarum jika terdapat sebarang keraguan data bagi memastikan simpanan pencarum sentiasa selamat, jelas kenyataan itu. ― Bernama