Malay Mail Online

ProjekMMO

Kapten JDT mencarut, bekas pemain negara ‘hentam’ Safiq

Safiq Rahim (kiri) cuba mengelecek pemain Melaka United Sergio Fabian Ezequiel Aguero pada perlawanan Liga Super di Johor Baru, 9 April 2017. — Foto BernamaKUALA LUMPUR, 5 Nov — Bekas pemain kebangsaan mengkritik perbuatan ketua pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana menggunakan perkataan lucah.

Khalid Ali menyifatkan perbuatan Safiq Rahim mencarut sebagai kurang sopan dan tidak harus dibuat secara terbuka, lapor Berita Harian.

“Selama 40 tahun saya bergelar pemain bola sepak, rasanya tak pernah dengar lagi ada pemain yang mencarut kepada penyokong lawan,” katanya.

Carutan itu dirakam dalam video berdurasi satu minit dan menular di media sosial ketika meraikan kemenangan JDT membawa pulang Piala Malaysia malam tadi.

JDT menewaskan Kedah 2-0 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam. 

Menyifatkan Safiq “lepas geram”, Khalid berkata selebriti sukan sepatutnya tahu lumrah pemain bola sepak terdedah kepada sanjungan mahupun kritikan.

“Cuma apa yang dibuat Safiq agak memeranjatkan kita apabila mencarut kepada penyokong dan pengkritik lawan,” katanya, menambah pemain zaman dahulu tidak pernah “hentam” balik penyokong lawan.