Malay Mail Online

ProjekMMO

Banjir kerana bencana, bukan projek negeri, kata Guan Eng

Sukarelawan meredah banjir membawa mangsa yang terjejas ke tempat lebih selamat 5 November 2017. — Foto oleh Sayuti ZainuddinGEORGE TOWN, 10 Nov — Musibah banjir di Pulau Pinang tiada kaitan dengan projek pembangunan di negeri ini, sebaliknya ia adalah bencana alam, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

“Ini adalah bencana alam, tiada kaitan dengan isu-isu yang dibangkitkan. Kami sudah pasti mengalu-alukan pandangan mereka yang prihatin mengenai isu ini.

“Kami bersedia untuk mendengar. Mari kita beri tumpuan kepada bencana alam semula jadi di sini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap kerajaan DAP Pulau Pinang agar membatalkan pembangunan berisiko di lereng-lereng bukit di negeri ini bagi mengelakkan banjir dan tanah runtuh berlaku.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika mengadakan lawatan di pusat pemindahan sementara di Pulau Pinang Selasa lepas, mengingatkan kerajaan negeri agar membuat penelitian dalam meluluskan projek pembangunan bagi mengelakkan berlakunya kejadian buruk akibat bencana alam.

Selain itu, Najib berkata kerajaan negeri perlu mengambil kira desakan NGO itu jika ia memberi kebaikan kepada semua pihak.

Ketika diminta mengulas kenyataan perdana menteri itu, Lim berkata: “Itu pendapat beliau”.

Lim berkata apa yang penting ketika ini adalah bagaimana untuk memulihkan semula negeri ini selepas berhadapan dengan banjir terburuk dalam sejarah.

Beliau berkata kerajaan negeri sangat memerlukan sokongan kerajaan persekutuan dan pihaknya masih menunggu berita baik daripada perdana menteri berhubung peruntukan untuk projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di negeri ini.

Sementara itu, Lim menyeru semua sukarelawan untuk bersama-sama turun padang membantu mangsa banjir di negeri ini bagi kerja-kerja pembersihan pasca banjir yang akan diadakan di bahagian pulau dan Seberang Perai esok dan Ahad ini.

Beliau meminta para sukarelawan untuk berkumpul di Balai Rakyat Jalan Patani, di sini pada 8 pagi manakala di bahagian Seberang Perai di Depoh Majlis Perbandaran Seberang Perai, Jalan Padang Lalang di Bukit Mertajam pada 7 pagi.

Terdahulu, Lim turut melancarkan laman sesawang Pulau Pinang Bangkit, www.penangbangkit.com dan hotline yang akan menyalurkan maklumat berhubung banjir di negeri ini dan pergerakan kerja-kerja pembersihan pasca banjir.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan  ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu lepas yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Hingga kini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri ini telah meragut tujuh nyawa. — Bernama