Friday November 8, 2013
11:00 AM GMT+8

Advertisement

More stories

Zul Fikri Zamir

Zul Fikri Zamir ialah seorang guru, felo di dalam Artist for d’Oppressed, pengasas bersama Teach For The Needs (TFTN) dan kaki backpack. Cita-citanya selain membuka sekolah sendiri ialah mengembara menaiki Trans Siberia dari Beijing ke St Petersburg.

NOV 8 — Bagaimaknakah sekolah 30 tahun akan datang? Apakah peperiksaan nasional masih ada?

Bagaimanakah komputer digunakan di dalam kelas? Bagaimanakah cara kita mengajar anak-anak membaca? Apakah televisyen akan digunakan sebagai alat bantu mengajar? Menurut Neil Postmandi dalam ‘The End of Education’, ini adalah soalan-soalan yang perlu kita tanyakan untuk membuat jangkaan bagaimana sistem pendidikan yang akan membentuk anak-anak dan masyarakat kita pada masa hadapan.

Saya percaya yang akan memacu sistem pendidikan kita sehingga 30 ataupun 60 tahun ke hadapan adalah guru, yang masih dan tetap akan menjadi ‘epicentre’ di dalam kelas. Oleh yang demikian, perhatian perlu diberi kepada bagaimana sistem latihan guru dijalankan pada masa kini untuk menyediakan guru sekurang-kurangnya sehingga 30 tahun akan datang.

Malaysia mempunyai sehingga 27 Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), sebuah pusat pengajian tinggi yang berfungsi untuk melatih bakal guru sebelum mereka diserap masuk ke dalam sistem pendidikan negara. Tulisan ini akan ditulis di dalam tiga bahagian, setiap satunya akan cuba menganalisis dan melihat dengan kritikal bagaimana pusat latihan guru ini akan mempengaruhi sistem pendidikan nasional pada masa hadapan.

Bahagian Pertama ini akan fokus terhadap pelajar, mahasiswa atau pelatih guru, Bahagian Kedua pula akan fokus terhadap tenaga pengajar iaitu pensyarah dan Bahagian Ketiga pula nanti akan fokus kepada pentadbiran, hala tuju dan falsafah IPGM.

‘Guru Pelatih’ atau Mahasiswa?

Umumnya di IPG, para pelajar akan dipanggil dengan gelaran ‘Guru Pelatih’ dan bukannya mahasiswa. Mereka dikehendaki untuk meletakkan kad pelajar di pondok kawalan jika mahu keluarmasuk, walaupun hanya untuk membeli surat khabar di kedai yang jaraknya hanya 50 meter.

Urusan keluar masuk asrama terhad sehingga jam 11 malam sahaja. Rutin hidup mereka dipenuhi dengan kelas seawal jam 8.00 pagi membawa ke 5.00 petang dengan Perhimpunan Mingguan, menjadikan hidup mereka tidak lebih dari sekolah asrama (dengan surat merah jika pulang lewat dari jam 11 malam).

Saya percaya, para pelajar ini sendiri masih tidak tahu dan faham makna menjadi guru pelatih yang sebenar-benarnya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu mengapa golongan ini tidak dipanggil dengan gelaran ‘Mahasiswa’ tetapi sebaliknya ‘Guru Pelatih’.

Saya kira beza makna di antara ‘mahasiswa’ dan ‘guru pelatih’ itu cukup besar sehingga memberi petunjuk kepada masyarakat kini mengapa sebahagian besar ‘guru pelatih’ ini kurang responsif terhadap masyarakat dan isu pendidikan yang amat rapat dengan mereka. Mereka tidak rasa beratnya makna mahasiswa ke dalam diri mereka dan hanya menganggap diri mereka hanyalah seorang guru pelatih yang sedang menunggu giliran untuk dihantar mengajar di sekolah.

Majlis Perwakilan Pelajar

Untuk sebuah pusat pengajian tinggi, tenaga yang menjana kuasa kepada budaya pemikiran dan intelektualisme pelajar adalah gabungan kesatuan pelajar. Di Malaysia gabungan ini selalunya hadir dalam bentuk Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP).

Malangnya kewujudan JPP yang melalui proses pilihanraya dalaman ini tidak lebih dari kewujudan pengawas di sekolah. Tugas mereka tidak lebih dari membantu jabatan Hal Ehwal Pelajar menguruskan isu kebajikan serta mengendalikan program dan ritual tahunan tanpa ada sumbangan serius untuk membentuk ideologi dan sudut pandang pelajar untuk melihat dunia pendidikan dengan lebih realistik.

Fungsi JPP yang hanya terhad untuk mengendalikan Perhimpunan Mingguan dan hebahan tarikh keluar elaun menyebabkan mereka hampir tiada tenaga untuk memacu mentaliti pelajar. Ini diburukkan lagi dengan ribuan isu kebajikan seperti harga kafetaria, kelengkapan kelas yang serba kekurangan serta pelbagai isu lain yang masih tidak dapat diselesaikan menyebabkan fokus JPP terhadap isu kebajikan semata-mata.

Pelajar hampir tidak ada saluran untuk menyuarakan sesuatu. Istilah seperti hak pelajar tidak dapat dibincangkan memandangkan wacana seperti ini adalah sesuatu yang asing untuk didebatkan secara umum. Lebih-lebih lagi jika ada yang ingin membuat perubahan mereka akan ditakut-takutkan dengan Akta 174, sebuah akta yang akan dimomokkan daripada awal tahun pengajian untuk memastikan mereka tidak menimbulkan masalah kepada pihak pengurusan IPG.

Walaupun AUKU sudah dibuat bacaan semula dengan Pindaan (2012) berkaitan Perenggan 15(2)(c), sehingga hari ini masih belum kedengaran ada JPP daripada 27 IPG seluruh negara yang membuat permohonan untu bacaan semula Akta 174.

Indoktrinasi vs Jiwa Merdeka

Jadi, apakah harapan yang kita ada untuk guru pelatih, bakal guru yang akan mendidik anak cucu kita pada masa hadapan?

Saya melihat panggilan ‘Guru Pelatih’ ini adalah sebahagian dari usaha konsisten untuk melemahkan daya pemikiran dan intelektual para pelajar agar boleh menjadi kakitangan yang efisien apabila dihantar masuk ke dalam sistem nanti. Hasilnya, graduan IPG akan keluar sebagai pelaksana yang tidak punya kemampuan untuk meneliti dan mengkritik dasar secara konstruktif.

Indoktrinasi ini boleh dilihat apabila sehingga dua bulan pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, hampir tiada diskusi dan analisa kritikal dijalankan samada oleh JPP atau gabungan guru pelatih, di dalam IPG atau di luar IPG, sedangkan mereka adalah golongan paling rapat dengan isu tersebut. Bahkan sehingga jumlah 54.6 bilion diumumkan untuk disalurkan kepada sektor pendidikan di dalam Bajet 2014, juga tidak kedengaran analisa, perbincangan mahupun diskusi berkaitan dijalankan secara ilmiah oleh golongan ini.

Suara pelatih guru sebagai mahasiswa pendidikan perlu diangkat semula. Mereka perlu segera keluar dari zon selesa dan mula mengambil tanggungjawab intelektual yang terbeban di atas bahu mereka. Sebagai pelaksana dasar pada masa hadapan, golongan ini adalah ‘front-liner’, golongan yang paling sesuai untuk menghidupkan semula wacana pendidikan, bahas dasar serta kritik ke atas perubahan kurikulum dan amalan yang semakin kerap berlaku kini.

Sekian banyak isu pendidikan dari SPPBS sehingga kepada isu wajib lulus subjek Sejarah dan Bahasa Inggeris perlu diberi perhatian oleh golongan ini. Sebagai anak muda dan mahasiswa, mereka perlu memastikan setiap perubahan dasar dan amalan yang akan memberi kesan kepada sistem pada masa hadapan perlu mengambil pendapat dan suara mereka terlebih dahulu.

Untuk itu, JPP perlu diupayakan semula bukan sahaja sebagai badan untuk menjaga kebajikan, tetapi lebih dari itu agar ia berfungsi untuk memimpin ideologi, sudut pandang dan budaya intelektualisme di kalangan warga guru pelatih. Ini adalah sangat penting terutamanya untuk memastikan setiap graduan IPG ini nanti adalah pemimpin muda yang akan memimpin anak-anak Malaysia di dalam kelas ke arah masyarakat yang lebih baik.

Tempoh masa belajar di IPG sehingga 5 tahun adalah tempoh waktu yang paling baik untuk membentuk ideologi, sudut pandang serta makna diri sebagai pendidik ke dalam anak muda ini. JPP perlu berfungsi untuk menghidupkan semula seminar, kolokium serta bahas isu pendidikan bermula di IPG masing-masing. Anak muda di dalam IPG harus digerakkan untuk cakna dengan dasar dan falsafah pendidikan serta kaitannya dengan realiti masyarakat dan masalah pendidikan yang masih belum dapat diselesaikan walaupun negara sudah 56 tahun merdeka.

Serentak dengan perkembangan teknologi yang pesat tatkala negara seperti India dan China berlumba-lumba menghantar misi ke planet Marikh; sudah pasti kita tidak mahukan guru yang mempunyai jiwa hamba, sekadar menurut dan mengangguk dengan dasar yang disediakan oleh Putrajaya pada masa hadapan. Ritual tahunan dan budaya yang tidak mampu menggerakkan budaya intelektualisme seperti membaling topi ketika habis minggu orientasi harus segera ditukar kepada penerbitan kajian akademik merentas pedagogi sehingga falsafah pendidikan terutamanya idea baharu menjelang perubahan teknologi masa hadapan.

Guru masih dan tetap menjadi ‘epicentre’ di dalam kelas. Sistem pendidikan berpusatkan kelas, bukan Putrajaya walaupun dasar berubah setiap tahun. Oleh yang demikian yang kita perlukan kini adalah anak muda berwawasan, pemimpin muda yang kelak di dalam kelas akan memacu pemikiran anak bangsa dengan ideologi. Mereka harus dilengkapkan bukan sahaja dengan kemahiran pedagogi yang pelbagai, tetapi juga kebolehan untuk adaptasi dengan teknologi dan kurikulum secara dinamik dan konstruktif.

Dan sudah tentu, ini tidak dapat dilakukan jika mereka masih mempunyai jiwa hamba.

Azizi Hj Abdullah di dalam buku beliau, Jiwa Hamba, menulis; “orang yang berjiwa besar akan menjauhkan daripada bersikap jiwa hamba. Orang yang menafikan sikap berjiwa hamba ialah orang yang melihat ke kanan dan ke kiri. Berapa ramai orang di dunia ini terbaring dan lemah hanya kerana bersikap positif dan menyerah; dan berapa ramai pula yang berjaya kerana mereka positif dalam segala hal. Berapa ramai antara mereka sekarang, dipenjarakan hanya kerana tidak rela berjiwa hamba. Akhirnya mereka menjadi orang yang menang dalam merdeka, bebas dari segala ikatan. Orang yang positif ialah orang yang tidak menghambakan jiwanya kepada pengaruh dan sistem perhambaan walaupun ia berselindung di sebalik perutusan atau protokol,”

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.

More Trending Videos

Trending Videos

Related Articles

Advertisement

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline