Uthaya Sankar

Uthaya Sankar SB adalah penulis sepenuh masa dan presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan). Beliau berkarya dalam Bahasa Malaysia dan merupakan pemilik Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya.

Kelompok penulis Tamil perlu tahu tentang hak apabila karya diterbitkan.Kelompok penulis Tamil perlu tahu tentang hak apabila karya diterbitkan.7 OKT — Sejak tahun 1993, saya berpeluang mengikuti perkembangan sastera Bahasa Tamil di Malaysia. Beberapa pensyarah dan rakan mahasiswa di Universiti Malaya turut menjadi sumber maklumat.

Salah satu perbezaan yang amat menonjol dari segi etika penerbitan membabitkan sastera Bahasa Tamil dan sastera Bahasa Malaysia adalah berkaitan kesedaran penulis/penerbit tentang perlunya memohon ISBN bagi setiap buku yang diterbitkan.

Sekadar contoh mudah, Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia sudah berusia 51 tahun. Setiap tahun, persatuan itu — yang turut menerima dana daripada kerajaan – menerbitkan buku.

Walau bagaimanapun, apabila diteliti, hanya sekitar lima buku terbitan terkini yang memiliki ISBN. Alasan yang biasa saya dengar daripada kelompok penulis Tamil sejak 1993 adalah bahawa buku Tamil tidak perlukan ISBN seperti buku Bahasa Malaysia dan Inggeris.

Perkara pertama ini membawa pula kepada perbezaan kedua yang amat menonjol. Sejak dahulu, karya Bahasa Tamil — khususnya cerpen, sajak dan rencana — yang disiarkan di media Tamil tidak dibayar honorarium atau royalti.

Sebagai pihak yang amat mementingkan serta memperjuangkan hak golongan penulis, tentulah Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan saya sendiri sebagai pemilik syarikat ‘Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya’ tidak mahu perkara ini berlanjutan.

Klimaks pertembungan antara “amalan pertama” (tiada ISBN) dan “amalan kedua” (tiada royalti) berlaku beberapa bulan lalu. Saya mendapat tahu mengenai isu itu daripada seorang penulis Tamil, Salma Dhineswary, semasa beliau menghadiri acara Baca Cerpen Kavyan (1 September 2013) di Galeri Shah Alam.

Saya segera mengatur pertemuan dengan M. Navin yang menerajui Vallinam iaitu kelompok muda daripada kalangan penulis Tamil. Menerusi pertemuan kami pada 7 September 2013 serta beberapa pertemuan susulan dengan ramai lagi penulis muda sejak itu, saya mendapat gambaran lebih jelas mengenai polemik yang berlaku.

Akhirnya individu tertentu meminta pandangan serta cadangan daripada saya dan Kavyan bagi mencari penyelesaian terbaik. Berdasarkan pengalaman dan maklumat yang dimiliki, Kavyan berjaya mencadangkan jalan penyelesaian terbaik yang pada dasarnya dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

‘Mekanisme royalti, hak cipta akan ditambah baik’

Masalah sebenarnya bermula apabila Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia memuatkan cerpen beberapa penulis dalam sebuah antologi tanpa izin para penulis terbabit. Malah, persatuan itu selaku penerbit juga tidak membayar sebarang royalti/honorarium.

Selepas Kavyan memberikan formula penyelesaian terbaik yang dipersetujui kedua-dua pihak (di mana saya menjadi orang tengah), Kavyan memilih untuk tidak masuk campur.

Biarlah penerbit dan penulis terbabit menguruskannya dengan segera berikutan keputusan rasmi jawatankuasa Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia pada 20 September 2013. Kami (Kavyan) hanya boleh menunjukkan jalan penyelesaian.

Lebih dua minggu sudah berlalu. Pada 5 Oktober 2013, saya menghadiri majlis pelancaran novel “Vellai Pura” yang turut dihadiri presiden Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia, P. Rajendran.

Penerbit buku Tamil sudah mula menyedari kepentingan ISBN.Penerbit buku Tamil sudah mula menyedari kepentingan ISBN.

Saya sempat bertanya kepada Navin dan rakan-rakannya sama ada isu sudah selesai dan sama ada para penulis terbabit sudah menerima royalti yang dituntut serta dipersetujui oleh persatuan/penerbit.

Secara kebetulan, semasa berucap pada Majlis Anugerah Buku PNM-RTM pada 3 Oktober 2013, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyentuh mengenai soal royalti dan hak penulis.

Menurut laporan Bernama, “beberapa mekanisme berkaitan royalti, hak cipta dan insentif lain akan dikaji dan ditambah baik ke arah membela serta memberikan keadilan kepada golongan penulis.”

Dalam situasi seperti ini, saya segera tertanya-tanya apakah menteri berkenaan sedar tentang realiti yang wujud dalam kalangan penulis Tamil di negara bertuah ini.

Pertanyaan ini adalah amat wajar kerana Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia turut (antara lain) menerima bantuan dana yang cukup lumayan daripada kerajaan, kementerian serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sementara itu, polemik berkaitan tuntutan royalti oleh kelompok Vallinam — khususnya Taya G, K. Balamurugan dan A. Pandiyan — hanya tersebar luas menerusi media Tamil.

Hak royalti bukan suatu isu remeh-temeh

Kelompok yang ditugaskan oleh “pihak berkuasa” untuk memantau akhbar-akhbar Tamil mungkin tidak melaporkan berita-berita berkaitan isu ini kepada ketua mereka; untuk disampaikan pula kepada menteri terbabit.

Malah, saya sendiri dihubungi untuk cuba membantu menyelesaikan isu itu selepas saya menulis mengenainya menggunakan Bahasa Malaysia pada 16 September 2013, sempena Hari Malaysia.

Kalaulah saya juga menulis kritikan saya dalam Bahasa Tamil, mungkin tidak ada sesiapa yang mengambil berat isu hak royalti yang diutarakan.

Seperti yang saya nyatakan, selepas Kavyan berjaya memberikan jalan penyelesaian terbaik yang khabarnya dipersetujui pula oleh persatuan/penerbit terbabit, kami memilih untuk tidak masuk campur.

Akan tetapi, memang menyedihkan apabila saya mendapat tahu daripada rakan-rakan penulis Tamil bahawa masih belum ada sebarang berita rasmi yang mereka terima.

“Sudah tentu ini merupakan suatu kejayaan yang sungguh aneh dalam sejarah kesusasteraan Tamil di Malaysia apabila Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia khabarnya bersedia membayar royalti seperti yang kami tuntut,” kata Balamurugan.

Sastera Tamil sudah lama bertapak di Malaysia tetapi hak penulis belum terbela.Sastera Tamil sudah lama bertapak di Malaysia tetapi hak penulis belum terbela.

Guru Cemerlang Bahasa Tamil itu mengakui bahawa selama ini, tuntutan hak royalti dan honorarium bagi karya Bahasa Tamil tidak pernah diketengahkan sebagai suatu isu penting yang harus dibahaskan.

“Hak royalti bukan suatu isu remeh-temeh yang boleh diabaikan. Sebaliknya ia berkait rapat dengan hak setiap penulis; tidak kira kita menulis menggunakan Bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin atau Tamil,” kata pemuda berkenaan yang menerima anugerah “Karikaar Cholan” daripada Universiti Tanjai, India serta Anugerah Bakat Muda Selangor menerusi novel “Nagarnthu Kondirukkum Vaasalgal” (2011).

Taya G yang mengusahakan kedai buku maya, Buthaga Siragugal, bersetuju dengan hujah yang dikemukakan oleh rakannya. Bagi penulis muda ini, dia dan rakan-rakannya tidak rela melepaskan hak yang sah di sisi undang-undang.

Penulis Tamil perlu ada kesedaran hak

“Kami tidak berminat dengan hadiah sagu hati sekitar RM200 yang diterima oleh Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia daripada ahli politik tertentu dan mahu diberikan kepada kami dalam majlis besar-besaran.

“Apa yang kami mahu adalah royalti bagi cerpen kami yang dimuatkan dalam antologi yang diterbitkan oleh persatuan itu. Walaupun jumlah royalti adalah sedikit, ia tetap menjadi hak kami,” katanya sambil dipersetujui oleh Balamurugan dan Pandiyan.

Balamurugan turut meluahkan rasa sedih dan kecewa kerana tidak dihubungi oleh persatuan/penerbit untuk memaklumkan sebarang perkembangan berhubung tuntutan mereka sejak beberapa bulan lalu.

“Kalaulah benar persatuan itu sudah bersetuju membayar royalti, saya tidak menerima sebarang SMS atau panggilan daripada persatuan itu. Saya tidak boleh menerima alasan kalau dikatakan persatuan itu tidak ada nombor telefon saya.

“Sebelum ini, presiden dan setiausaha persatuan itu pernah menelefon saya. Maknanya mereka ada nombor telefon saya. Malah, presiden persatuan tahu alamat e-mel saya,” kata Balamurugan apabila saya menyebut tentang keputusan mesyuarat jawatankuasa persatuan pada 20 September 2013 untuk sedia membayar royalti.

“Saya berharap kementerian dan jabatan terbabit memberikan perhatian terhadap isu royalti penulis Tamil. Pihak berkuasa harus memantau isu ini secara mendalam dan teliti supaya para penulis Tamil tempatan tidak menjadi mangsa penipuan dan manipulasi,” kata Taya G.

Saya belum berpeluang memiliki antologi cerpen “Bantuan” yang mencetuskan polemik ini. Kalau boleh, saya bercadang menghubungi kesemua 19 penulis terbabit untuk mendapatkan reaksi mereka.

Pada masa sama, tentulah saya juga mahu menyedarkan para penulis terbabit tentang hak royalti dan honorarium yang mungkin “disembunyikan” daripada pengetahuan mereka sejak penulisan karya kreatif Bahasa Tamil bermula di Suvarnabumi (Semenanjung Emas”) seawal tahun 1917.

Misalnya, bahawa jika salah seorang penulis yang karyanya dimuatkan tanpa izin dalam antologi itu tidak memberikan izin bertulis, maka buku berkenaan tidak boleh diedarkan atau dijual kepada umum.

Ya, sastera Tamil di Malaysia juga amat perlu melalui proses kematangan yang mungkin sedikit perit dan menyakitkan bagi golongan yang sudah terlalu biasa hidup dalam zon selesa.

* Uthaya Sankar SB boleh dihubungi menerusi e-mel uthayasb@yahoo.com.my untuk maklumat berkaitan hak golongan penulis.

** This is the personal opinion of the columnist.

Related Articles

Advertisement

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline