Monday October 28, 2013
8:34 AM GMT+8

Advertisement

More stories

Uthaya Sankar

Uthaya Sankar SB adalah penulis sepenuh masa dan presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan). Beliau berkarya dalam Bahasa Malaysia dan merupakan pemilik Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya.

Kughan meneliti teks agama di Gereja St George.Kughan meneliti teks agama di Gereja St George.28 OKT ― Pertama kali saya “menemui” Pitt Street adalah dalam novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussian (Pak Lah).

Dalam edisi 1996 yang mengekalkan kandungan edisi asal (1971), terdapat gambaran seperti berikut: “Pitt Street penuh dengan orang-orang India. Boleh dikatakan jalan itu ialah jalan orang-orang India. Di situ ada sebuah kuil India yang besar, ada masjid untuk orang-orang Muslim dan kebanyakan kedai di jalan itu dipunyai oleh orang-orang India belaka.” (Hlm 258)

Umum mengetahui bahawa novel Interlok” pernah diubah suai dan dimanipulasi menjadi Interlok: Edisi Murid (2010) serta dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas).

Petikan perenggan di atas turut dikekalkan dalam edisi 2003 (Hlm 241). Bagaimanapun, apabila membaca Interlok: Edisi Pelajar (2005), petikan itu sudah diubah suai ― tentunya tanpa izin Pak Lah ― menjadi seperti berikut:

“Pitt Street penuh dengan orang India. Boleh dikatakan jalan itu juga jalan orang India. Kebanyakan kedai di jalan itu dipunyai oleh orang India.” (Hlm 221)

Memandangkan edisi 2005 telah digunakan untuk melakukan penyuntingan tambahan bagi menghasilkan edisi 2010, petikan yang sama seperti di atas muncul pada halaman 216 teks Komsas.

Novel Interlok: Edisi Murid kononnya “berkemampuan untuk mengajar murid tentang erti penyatuan dan perpaduan seperti konsep ‘1 Malaysia’ yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak” seperti dicetak pada kulit belakang teks Komsas itu.

Maka memang pelik apabila gambaran kewujudan kuil dan masjid di Pitt Street, Pulau Pinang pada sekitar tahun 1910 dimansuhkan dan dibuang terus daripada edisi murid yang dijadikan teks Komsas.

Sebagai salah seorang individu yang dilantik oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menganggotai Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok pada Februari 2011, saya mengkaji edisi 1996, 2003, 2005 dan 2010 secara teliti dengan kerjasama wakil Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).

Kuil tertua di Tapak Warisan Dunia Georgetown.Kuil tertua di Tapak Warisan Dunia Georgetown.Dapat peluang pergi ke Georgetown

Hasil pencarian internet, saya mendapat tahu bahawa Pitt Street adalah apa yang dikenali sebagai Jalan Masjid Kapitan Keling di Georgetown sekarang.

Saya menjadi semakin teruja apabila mendapat tahu daripada beberapa kenalan Facebook di Pulau Pinang bahawa terdapat beberapa kuil, tokong, masjid dan gereja di sepanjang jalan berkenaan.

Selepas kejayaan Konvoi Rumah Ibadat di Seremban, Negeri Sembilan pada 17 Februari 2013, Kavyan bercadang mengadakan konvoi sama di Jalan Masjid Kapitan Keling.

Untuk itu, saya merancang melakukan tinjauan awal bagi membuat persiapan dan persediaan. Kebetulan pula, Konvoi Rumah Ibadat IV berlangsung di Jalan Ipoh dan Sentul, Kuala Lumpur pada 12 Oktober 2013.

Konvoi itu ― walaupun hanya disertai 15 individu pelbagai kaum dan agama ― mendapat liputan BBC World News dan disiarkan pada 22 Oktober 2013.

Pada tarikh sama juga Kughan Nadarajah (Penolong Setiausaha Kavyan) bertanya sama ada saya mahu menyertainya ke Georgetown pada 23-25 Oktober 2013 kerana saudaranya yang sepatutnya turut serta terpaksa membatalkan rancangan.

Saya menerima tawaran itu dengan gembira kerana memang merasakan amat perlu membuat tinjauan di Jalan Masjid Kapitan Keling bagi tujuan konvoi.

Paparan saya menerusi Facebook mengenai kunjungan ke Georgetown mendapat reaksi segera daripada beberapa rakan di Pulau Pinang.

Maka selama tiga hari di sana, saya dan Kughan tidak hanya mengunjungi tempat-tempat yang sudah direncanakan lebih awal. Kami amat bertuah kerana Dhanendran (Ksatriya), Kiru Muniandi, Chitra Alagan, Nagathisen Katahenggam dan Magaenthiran Periaswamy berbesar hati menjadi pemandu pelancong.

Jalan Masjid Kapitan Keling memang meriah seperti Pitt Street yang digambarkan oleh Pak Lah dalam novel Interlok. Bukan kerana “boleh dikatakan jalan itu ialah jalan orang-orang India” tetapi kerana kepelbagaian yang mampu diraikan di sepanjang jalan itu.

Masjid ini 'dihilangkan' dalam 'Interlok: Edisi Murid'.Masjid ini 'dihilangkan' dalam 'Interlok: Edisi Murid'.Meninjau rumah-rumah ibadat pelbagai agama

Karnival jualan sempena Deepavali sedang berlangsung di Little India. Namun, pada masa yang sama, kepelbagaian budaya, kesenian, agama dan ritual dapat disaksikan di sekitar kawasan berkenaan.

Setiap hari, saya dan Kughan memilih untuk berjalan dari hotel kami di Jalan Transfer menuju ke pelbagai destinasi di Jalan Penang, Lebuh Chulia, Lebuh Farquhar, Lebuh Queen dan sebagainya.

Kami sama-sama terpersona dengan keunikan seni, budaya dan warisan yang terpelihara di Georgetown. Laluan yang mesra pejalan kaki menjadikan perjalanan kami lebih mudah dan selesa.

Dhanendran menemui kami di Jalan Masjid Kapitan Keling pada hari pertama dan membawa kami meneroka Little India dan kawasan sekitar di tapak warisan dunia itu.

Saya dan Kughan umpama rusa masuk kampung melihat segala keunikan yang bukan hanya dipamerkan tetapi menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian di sini.

Antara tempat yang sempat dikunjungi dalam masa yang terhad adalah Kuil Sri Maha Mariamman iaitu “sebuah kuil India yang besar” seperti digambarkan dalam novel “Interlok”.

Kuil berkenaan dibina pada tahun 1833; iaitu jauh sebelum watak Maniam datang ke Pulau Pinang.

Terdapat banyak tokong di sini. Setiap satu kelihatan amat unik, penuh warna dan mempersonakan dengan ukiran penuh kesenian tradisi Cina.

Masjid Nagore Dargha Sheriff pula amat unik kerana mengekalkan ciri-ciri sufisme. Kami sempat melihat sebuah keluarga kaum India-Hindu membawa bayi yang sakit untuk dijampi di situ.

Pitt Street kini sudah menjadi Jalan Masjid Kapitan Keling. Bagaimanapun, masih ada Lorong Pitt di hadapan Masjid Nagore. Di situ juga terdapat Restoran Kapitan berwarna merah yang menjadi mercu tanda penting.

Ukiran yang amat seni pada bangunan tokong.Ukiran yang amat seni pada bangunan tokong.Muat naik foto untuk rakan-rakan

Kiru dan Chitra turut meluangkan masa bersama-sama kami walaupun mereka kelihatan penat kerana belum sempat pulang ke rumah selepas habis kerja.

Mereka menyarankan tempat-tempat yang wajar dan harus dilawati. Kemudian, saya dan Kughan dibawa pula oleh Magaenthiran ke Jalan Tun Syed Sheh Barakbah untuk menikmati pemandangan laut sambil berbual-bual.

Pada hari kedua, Wat Burma (Burmese Buddhist Temple) dan Wat Chaiyamangalaram (Thai Buddhist Temple) yang terletak bertentangan menjadi destinasi awal pagi.

Kami berdua pasti sahaja tidak melepaskan peluang merakamkan foto. Sebahagian daripadanya segera dimuat naik menerusi Facebook untuk tatapan rakan-rakan.

Destinasi seterusnya adalah Masjid Kapitan Keling yang turut dinyatakan dalam Interlok edisi asal. Masjid berkenaan dibina pada 1801 oleh Kader Mydin Merican iaitu Kapitan Keling dan penghulu kaum India Selatan di Georgetown pada masa itu.

Beberapa lagi tokong, kongsi, masjid, gereja, gurdwara, kubur, rumah warisan, muzium dan kawasan seni jalanan (street art) dilawati. Ringkasnya, setiap sudut yang dipandang memiliki seni, keunikan dan warisan yang mempersonakan.

Peluang menyaksikan upacara di wat Buddha.Peluang menyaksikan upacara di wat Buddha.Di setiap tempat ― termasuk tepi jalan ― terdapat papan tanda yang memuatkan sejarah dan maklumat mengenai kawasan berkenaan. Paparan menggunakan Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Cina menjadikan ia mudah difahami semua.

Sepanjang berada di Georgetown, saya juga menerima mesej menerusi Facebook dan e-mel dari dalam dan luar negara. Ramai yang menonton laporan di BBC World News dan membuat pencarian menerusi internet, lalu menghubungi saya.

Beberapa pertubuhan dan kumpulan pelajar dari dalam dan luar negara berminat menyertai Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kavyan pada masa hadapan.

Tentu sahaja Jalan Masjid Kapitan Keling yang mula-mula saya “temui” menerusi novel Interlok akan turut menjadi destinasi salah satu konvoi; kemungkinan pada awal tahun hadapan.

* Sila hubungi infokavyan@yahoo.com.my bagi maklumat mengenai Konvoi Rumah Ibadat

** Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.

More Trending Videos

Trending Videos

Related Articles

Advertisement

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline