Uthaya Sankar

Uthaya Sankar SB adalah penulis sepenuh masa dan presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan). Beliau berkarya dalam Bahasa Malaysia dan merupakan pemilik Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya.

Buku-buku perlu mementingkan aspek bahasa dan sesuai bagi khalayak pelbagai kaum.Buku-buku perlu mementingkan aspek bahasa dan sesuai bagi khalayak pelbagai kaum.26 OGOS — Bolehkah komik digunakan bagi membantu kanak-kanak menimba ilmu? Bagi seorang penerbit buku yang saya kenali, pandangan konvensional terhadap “komik” perlu diubah kerana sejak sedekad lalu, sudah lahir “komik pendidikan” yang bukan lagi berciri hiburan dan lawak-jenaka.

Sejak hampir sepuluh tahun lalu, Gemilang Publishing Sdn Bhd di bawah label Exact Publisher menerbitkan siri komik tempatan dalam Bahasa Mandarin. Hasil karya penulis dan pelukis komik tempatan ini tertumpu pada pasaran sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) sebelum diterjemahkan juga ke Bahasa Malaysia supaya boleh dinikmati kanak-kanak dan remaja pelbagai kaum.

Sejak beberapa tahun lalu, saya dan anak saya, Devishi Prabha Sankari, suka membaca siri komik “Kelas Durian D”. Siri Cerita Klasik China pula membantu mendalami budaya, pemikiran dan jati diri Tamadun Besar China. Begitu juga dengan siri “Klasik Dunia Berilustrasi Manga” yang membantu kanak-kanak dan remaja mengenali puluhan karya klasik dunia dalam versi mudah.

Saya berpeluang untuk bertemu dan berbual-bual dengan pengarah urusan Gemilang Publishing, Koh Yok Hwa di syarikat beliau di Kepong pada 16 Ogos 2013. Saya tertarik melihat beberapa siri komik pendidikan yang sedang diusahakan.

“Sejak tahun lalu, kami mendapat sambutan yang lebih besar bagi komik-komik pendidikan dari Korea Selatan yang diterjemahkan ke Bahasa Mandarin. Kerjasama kami dengan penerbit di Korea Selatan diteruskan juga pada tahun ini dengan memilih lebih banyak judul yang sesuai bagi bacaan khalayak di Malaysia,” katanya sambil menyemak kerja-kerja penyuntingan yang dilakukan oleh kakitangan syarikat.

Saya amat teruja apabila dimaklumkan bahawa komik-komik berkenaan kini sedang diusahakan dalam Bahasa Malaysia dan beberapa judul menarik di bawah siri “Keluarga Bakhil” dan “Kembara Keluarga Bakhil” akan memasuki pasaran pada September ini.

Maknanya, kesemua komik dari Korea Selatan yang diterbitkan oleh syarikat berkenaan boleh didapati dalam terjemahan Bahasa Malaysia dan Mandarin. Ada juga yang turut diterbitkan dalam Bahasa Inggeris untuk pasaran Malaysia dan Singapura.

Perkara sama juga dilakukan bagi komik-komik pendidikan dari Thailand. Ada pelbagai judul menarik meliputi pelbagai bidang seperti bencana alam dan legenda dunia yang amat sesuai dijadikan bacaan kanak-kanak dan remaja di Malaysia agar mereka boleh menimba ilmu sambil berhibur.

Saya berpeluang meneliti naskah awal beberapa judul buku-buku berkenaan dan mendapati bahawa komik pendidikan ini bukan hanya sesuai bagi kanak-kanak dan remaja; malah golongan dewasa juga akan tertarik untuk menikmatinya sambil menimba ilmu.

Totoro (kiri) dan Clay antara bakat penulis komik tempatan yang semakin mencipta nama pada peringkat antarabangsaTotoro (kiri) dan Clay antara bakat penulis komik tempatan yang semakin mencipta nama pada peringkat antarabangsaMengikut kontrak dan perjanjian hak penerbitan yang ditandatangani Gemilang Publishing bersama-sama penerbit dari Korea Selatan dan Thailand, terdapat lebih 50 judul komik pendidikan yang akan diterjemahkan ke Bahasa Malaysia dan Mandarin pada setiap tahun.

Pasaran novel tempatan sudah tepu

Yok Hwa bukanlah orang baru dalam bidang penerbitan buku tempatan. Beliau memulakan kerjaya sebagai penerbit pada tahun 1991. Kebanyakan judul yang diterbitkan pada peringkat awal tertumpu dalam bidang akademik seperti buku teks, buku latihan, buku rujukan dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin. Pasaran lebih tertumpu di SRJKC dan SMJKC.

“Kami juga terlibat dalam penerbitan buku kanak-kanak, novel, komik dan sebagainya. Sekitar 90 peratus daripada penerbitan kami adalah meliputi bidang akademik dan non-akademik ini.

“Gemilang Publishing mula menerbitkan buku-buku fiksyen seperti novel dan komik dalam Bahasa Malaysia sejak sekitar lima tahun lalu di bawah label One Nusantara. Akan tetapi, nampaknya kami tidak mempunyai kekuatan untuk bersaing dengan pelbagai penerbit sedia ada. Maka, penerbitan novel Bahasa Malaysia dihentikan sementara waktu,” lelaki kelahiran Yong Peng, Johor ini mengakui.

Dari segi perniagaan, katanya, adalah lebih mudah menerbitkan buku-buku dalam bentuk set untuk pasaran perpustakaan. Akan tetapi, saingan juga semakin meningkat. Ringkasnya, dalam pasaran semua jenis buku, penawaran kini mengatasi permintaan.

Dalam konteks penerbitan novel tempatan pula, terdapat terlampau banyak judul yang diterbitkan dalam setahun. Penerbit kecil-kecilan seperti One Nusantara tidak begitu menonjol, lalu berdepan kesukaran menembusi pasaran yang sudah pun tepu dan dikuasai pelbagai syarikat penerbitan gergasi.

Penerbit berkenaan yang saya kenali sejak Julai 2008 memang senang diajak berbual. Malah beliau menjadi tempat rujukan saya apabila menerbitkan buku-buku sendiri. Sebagai seorang individu yang mencintai Bahasa Malaysia, Yok Hwa turut menyokong usaha Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengendalikan pelbagai aktiviti bahasa dan sastera bagi khalayak pelbagai kaum.

Berbalik kepada komik pendidikan yang sedang diusahakan, beliau menceritakan bahawa judul-judul yang dipilih untuk diterjemahkan ke Bahasa Malaysia dan Mandarin sudah mendapat sambutan yang sangat hebat di Korea Selatan. Contohnya adalah siri “World Treasure Hunt” yang terdiri daripada 50 judul dan sudah sudah terjual lebih sepuluh juta naskhah di Korea Selatan sahaja.

“Sesudah itu, ia mula diterjemahkan untuk pasaran China, Taiwan, Thailand dan Indonesia. Sambutan yang diberikan oleh pembaca bagi siri komik pendidikan berkenaan amat menggalakkan serta menjadi bukti bahawa siri komik pendidikan berkenaan juga sesuai bagi pasaran Malaysia,” kata Yok Hwa yang menerajui syarikat penerbitan dengan 80 pekerja.

Dari segi penerimaan oleh masyarakat Malaysia, katanya, sekitar sepuluh tahun lalu, apabila komik pendidikan dari Korea Selatan mula memasuki SRJKC dan menjadi bahan bacaan kegemaran kanak-kanak, golongan guru dan ibu bapa agak keberatan serta risau.

“Pada tanggapan mereka, komik pendidikan ini sama sahaja dengan komik-komik lain yang hanya berciri hiburan serta tidak mementingkan aspek penggunaan bahasa yang betul. Kebimbangan mereka berasas kerana komik yang dibaca pasti mempengaruhi minda dan penguasaan bahasa oleh kanak-kanak,” lelaki ini yang juga dikenali dengan nama “Aman Koh” menghuraikan.

Di Korea Selatan sendiri, apabila siri komik pendidikan ini diperkenalkan di sekolah dahulu, khabarnya banyak juga tentangan daripada ibu bapa. Namun, pandangan negatif dan prejudis itu lenyap apabila siri komik pendidikan ini terbukti membantu murid-murid lebih cemerlang dalam pelajaran serta menimba pelbagai ilmu sambil berhibur. Akhirnya, kerajaan Korea Selatan turut menyokong penerbitan komik pendidikan itu.

Membina bakat pelukis, penulis tempatan

Walau bagaimanapun, menurut Yok Hwa, apabila komik-komik pendidikan mahu dibawa masuk dari Korea Selatan dan Thailand ke Malaysia dan diterjemahkan bagi khalayak tempatan, jawatankuasa editorial di syarikatnya meneliti serta menapis setiap judul secara amat terperinci.

“Kami mahu membina generasi muda menerusi bahan bacaan yang bermutu. Jadi, mutu karya diberikan keutamaan. Kemudian, apabila komik-komik pendidikan ini diterjemahkan ke Bahasa Malaysia dan Mandarin, kami memastikan mutu bahasa yang tinggi dan sesuai bagi khalayak pembaca kanak-kanak pelbagai kaum di Malaysia. Walaupun cerita disajikan dalam bentuk komik, mutu bahasa tidak akan kami korbankan,” tegas penerbit berumur 51 tahun itu.

Yok Hwa turut menyokong usaha Kavyan memartabatkan Bahasa Malaysia melalui aktiviti sastera.Yok Hwa turut menyokong usaha Kavyan memartabatkan Bahasa Malaysia melalui aktiviti sastera.Selain daripada membeli lesen penerbitan komik pendidikan dari luar negara, Gemilang Publishing juga berusaha menggalakkan dan membina bakat-bakat tempatan yang boleh menghasilkan komik pendidikan bermutu tinggi.

“Hal ini penting kerana kita akan mampu menyajikan karya yang lebih memenuhi aspirasi dan cita rasa khalayak tempatan. Kita tidak boleh selama-lamanya bergantung pada karya dari luar. Kita perlu menggalakkan serta memberi peluang kepada penulis dan pelukis komik tempatan mengasah bakat,” katanya.

Dua bakat tempatan yang menghasilkan komik pendidikan dan karya mereka diterbitkan oleh Gemilang Publishing sejak beberapa tahun lalu ialah Totoro Chang Boon Kiat dan Clay Lim Shi Min. Karya mereka mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pembaca; khususnya kanak-kanak di SRJKC.

Saya berpeluang bertemu kedua-dua penulis dan pelukis komik berbakat besar ini semasa kami sama-sama dibawa oleh Yok Hwa melancong ke Taiwan pada 25-31 Januari 2013. Hasil penelitian saya, mereka berdua berbakat besar tetapi sangat merendah diri.

Totoro khabarnya sudah menghasilkan satu siri baru bertema pemeliharaan alam. Beliau menghadiri festival komik di Korea Selatan pada minggu lalu dan berjaya memperkenalkan hasil karyanya kepada khalayak antarabangsa.

Clay pula menghasilkan satu siri khas komik pendidikan berkaitan budaya makan di pelbagai negara. Buku-buku yang sudah diterbitkan dalam siri ini meliputi budaya makan di Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.

“Hasil pengalaman saya terlibat dalam bidang penerbitan buku selama lebih 22 tahun, saya mendapati bahawa budaya membaca dalam kalangan Bangsa Malaysia semakin meningkat. Ibu bapa pada masa kini juga amat menggalakkan anak-anak membaca serta ada peruntukan khas untuk membeli bahan bacaan setiap bulan.

“Atas sebab itulah juga saya terus yakin bahawa memang ada masa depan yang gemilang bagi penerbit buku asalkan mereka terus bertanggungjawab dan menghasilkan karya bermutu yang mampu mematangkan minda pembaca pelbagai peringkat usia,” kata Yok Hwa dengan penuh optimis pada akhir perbualan kami.

* This is the personal opinion of the columnist.

Advertisement

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline