Monday August 19, 2013
7:34 AM GMT+8

Advertisement

More stories

Uthaya Sankar

Uthaya Sankar SB adalah penulis sepenuh masa dan presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan). Beliau berkarya dalam Bahasa Malaysia dan merupakan pemilik Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya.

Mengutuk orang Melayu dan kerajaan Malaysia secara tersirat (Utusan Malaysia, 16 Ogos 2013).Mengutuk orang Melayu dan kerajaan Malaysia secara tersirat (Utusan Malaysia, 16 Ogos 2013).19 OGOS — Kalau saya menjadi Perdana Menteri Malaysia. …

Antara tajuk karangan yang cukup popular di sekolah rendah pada masa dahulu. Bagaimanapun, rasa-rasanya tajuk berbaur politik seperti itu semakin dielakkan kerana kanak-kanak juga sudah “berani” bersuara lantang.

Tajuk karangan sekolah rendah itu kembali muncul dalam kenangan apabila saya terbaca tulisan Ridhuan Tee Abdullah bertajuk “Singapura maju kerana Malaysia” (Utusan Malaysia, 16 Ogos 2013).

Selepas serik dan sakit tekak mengutuk, menghina, memperlekeh dan menyalahkan kaum Cina di Malaysia — umpama anjing menyalak bukit — lelaki ultra kiasu yang menyangka dirinya “Melayu” ini cuba pula menyeberang ke Singapura.

Menurut lelaki pentaksub dan tidak sedar diri itu, dia juga “ada hak untuk menyalahkan ultra kiasu Cina Singapura, yang menyebabkan Melayu di sana dan Malaysia dikhianati.” Mungkin dia dan akhbar Utusan Malaysia sahaja yang faham makna bebelannya itu.

Kopi yang sedang saya minum hampir tersembur apabila membaca kenyataan lelaki ultra kiasu itu yang mempersoalkan mengapa “banyak sangat orang Islam yang bukan berwajah Melayu (India Muslim) yang mendapat tempat di Singapura.”

Mungkin lelaki “hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong” ini sudah lama tidak memandang cermin lalu tidak sedar bahawa dia juga termasuk dalam kategori itu. Malah, ternyata dia sengaja mahu melaga-lagakan Umno Baru menjelang perhimpunan agung kerana terlalu ramai ahli, perwakilan dan pemimpin parti politik Melayu itu yang termasuk dalam kategori “bukan berwajah Melayu”.

Dalam usahanya mengampu dan “menjadi Melayu”, lelaki ultra kiasu itu lupa bahawa tindakannya mengungkitkan isu “bukan berwajah Melayu” umpama menepuk air di dulang, akhirnya terpercik muka sendiri.

Lelaki yang menganggap dirinya kebal itu (mungkin kerana pandai mengampu dan mendapat “perlindungan” pihak tertentu) turut menuduh para pegawai keagamaan di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sebagai “sudah mati kemelayuan dan keislaman” kerana “cari makanlah katakan”.

Pensyarah itu yang berdepan tuduhan menciplak tesis dan kajian ilmiah orang lain juga cuba mengampu orang Melayu dengan mengulangi fakta yang memang sudah diketahui umum: Orang Melayu pada lazimnya berhati mulia dan terlalu baik hati.

Cuma, agak pelik apabila lelaki ultra kiasu ini menggunakan kata ganti “mereka” apabila merujuk kepada orang Melayu; sedangkan dia terang-terangan sudah lama “menyangka” dirinya Melayu serta “lebih Melayu daripada orang Melayu”.

Lelaki ultra kiasu menghina orang Melayu

Penulis itu juga membuktikan bahawa walaupun syaitan dan iblis diikat sepanjang bulan Ramadan, “manusia berhati syaitan” tetap bebas melakukan apa-apa sahaja pada bila-bila masa.

Kenyataan Ridhuan Tee Abdullah turut dilaporkan di The Malay Mail Online (16 Ogos 2013).Kenyataan Ridhuan Tee Abdullah turut dilaporkan di The Malay Mail Online (16 Ogos 2013).Dalam makalah yang sama, dia menceritakan bagaimana dia terserempak dengan seorang mantan pegawai tinggi kerajaan mengadakan pertemuan dengan beberapa peniaga kaum Cina di sebuah restoran di Kuala Lumpur pada sekitar pukul 1 pagi.

Kejadian ini berlaku pada Ramadan lalu. Lelaki ultra kiasu itu tidak pula mendedahkan mengapa dia “merayau” pada tengah malam di ibu kota; sebaliknya hati busuknya segera pula membuat tanggapan berbentuk prejudis terhadap bekas pegawai tinggi kaum Melayu itu.

“Dalam hati sudah dapat mengagak, apa lagi agendanya kalau bukan mahu menjadi ‘pak pacak’. Maka akan dilantik menjadi pengerusi syarikat itu dan ini, dengan elaun puluhan ribu ringgit sebulan, bagi tujuan mendapatkan tender atau kontrak kerajaan.”

Sehingga makalah ini ditulis, tidak ada pula Ibrahim Ali, Zulkifli Noordin dan konco-konco mereka dari Perkasa yang “mengangkat senjata” untuk menyelar kenyataan berbentuk menghina orang Melayu-Islam yang dikeluarkan oleh lelaki “bukan berwajah Melayu” ini. Tiada juga seruan bekas tentera mengadakan “senaman punggung” di hadapan rumah lelaki ultra kiasu itu.

Tidak ada pula Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kata-kata lelaki ultra kiasu itu sebagai “telah memperlekehkan dan mempersendakan agama kita” dengan meminjam frasa yang digunakannya dan dilaporkan oleh Bernama (30 Julai 2013).

Lelaki ultra kiasu berkenaan juga menuduh orang-orang Melayu di Malaysia suka “mencari jalan pintas” selepas pencen. “Mereka tidak fikir bagaimana membangunkan Melayu. Mereka hanya fikirkan perut,” katanya.

Kalaulah benar orang Melayu-Islam yang sudah pencen “mencari jalan pintas” dan “hanya fikirkan perut”, bukankah bermakna mereka tidak lagi berpegang pada ajaran Islam yang suci? Maka, tidak salah untuk mentafsirkan kata-kata lelaki ultra kiasu itu sebagai menuduh orang Melayu tidak cukup Islam (berbanding dirinya?).

Selepas sekian lama cuba menjadi jaguh orang Melayu (kerana menganggap dirinya “lebih Melayu berbanding orang Melayu”), lelaki pentaksub dan ultra kiasu itu kini cuba pula mengatakan bahawa dia lebih layak mentadbir sebuah negara.

Mahu Malaysia-Singapura berperang

“Alah, sekadar menguruskan negara sekangkang kera, sesiapa pun boleh buat. Justeru, janganlah terlalu bongkak,” katanya dalam tulisan di akhbar Utusan Malaysia mengenai Singapura. Sikap bongkaknya amat jelas kerana membandingkan saiz fizikal Malaysia dengan Singapura. Dia terlupa pula membandingkan saiz fizikal Malaysia dengan Australia atau China, misalnya.

Tapi tentulah “niat” sebenarnya bukan sekadar mahu menghentam pemimpin dan kepimpinan Singapura. Mesej tersirat yang terpancar menerusi tulisannya yang disiarkan pula di akhbar “lidah rasmi” Umno Baru adalah hentaman terhadap pemimpin dan kepimpinan Malaysia yang hanya “sekangkang kera” berbanding Australia atau China, misalnya.

Lelaki ultra kiasu itu — atau para kiasu; beyond kiasu — dengan penuh licik cuba memasukkan unsur “Kalau saya menjadi Perdana Menteri Malaysia …” dengan mengambil isu perebutan Pulau Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura sejak 1979.

Kerajaan Malaysia dikutuknya secara halus kerana membawa kes itu ke Mahkamah Antarabangsa (ICJ) tetapi kalah pada 2008. Dengan memberikan alasan “Di manakah maruah Melayu?” maka lelaki ultra kiasu itu mengatakan bahawa jika dia menjadi Perdana Menteri, maka dia pasti telah mengisytiharkan perang terhadap Singapura.

Watak Si Kitol dan Raja Mandaliar muncul dalam ‘Sejarah Melayu’.Watak Si Kitol dan Raja Mandaliar muncul dalam ‘Sejarah Melayu’.Ada dua perkara yang amat nyata menerusi kata-kata celuparnya. Pertama, lelaki ultra kiasu itu ternyata bersikap talam dua muka dan pengkhianat seperti Si Kitol dan Raja Mandaliar dalam Sejarah Melayu. Malah amat menarik apabila dia sendiri memberikan bayangan (imbas muka; foreshadow) dengan menyebut nama kedua-dua watak pengkhianat berkenaan dalam tulisannya.

“Mereka ini ultra kiasu,” katanya tanpa menyedari bahawa secara minda bawah sedar, dia sedang merujuk kepada dirinya sendiri. “Si Kitol dan Mandaliar inilah yang telah melakukan khianat … Mereka tipu pemimpin kita …”

Perkara kedua yang amat nyata adalah bahawa lelaki ultra kiasu ini mahu menimbulkan masalah dalam hubungan antara Malaysia dan Singapura. Apa yang diimpikan oleh “manusia berhati syaitan” adalah peperangan fizikal antara kedua-dua negara jiran ini.

Tidak mustahil bahawa Si Kitol dan Mandaliar dalam dirinya (atau dalam minda bawah sedarnya) yang “bukan berwajah Melayu” akan membuka pintu kota supaya mudah diserang dan dimusnahkan pihak lawan. Atau mahu melihat kedua-dua negara sekali gus musnah supaya “syaitan dalam diri” boleh ketawa mengilai meraikan kemenangan.

Pada pandangan seorang rakan di Facebook, Ridhuan Tee adalah seorang individu yang naif. Demikian kata Ben Izzat Mohammed Ses apabila saya bertanya “Apa reaksi anda jika Ridhuan Tee menjadi Perdana Menteri Malaysia?”

“Persekitaran dan pergaulannya diselaputi hipokrasi. Beliau masih terikat dengan budaya ‘mengampu dan mendapat ganjaran’ hasil warisan Kesultanan Melayu Melaka yang masih diamalkan oleh pemerintah sekarang.

“Bagaimana beliau boleh berdiri sendiri untuk menjadi seorang PM dengan krisis identiti yang masih begitu tebal membayangi dirinya?” soal pereka kandungan web itu yang tinggal di Bangi, Selangor.

Tulisan lelaki ultra kiasu terbabit yang tersiar di akhbar Utusan Malaysia tentulah bukan sekadar sebuah karangan sekolah rendah bertajuk “Kalau saya menjadi Perdana Menteri Malaysia.” Sebaliknya, tidak mustahil bahawa lelaki ultra kiasu itu yang menganggap dirinya “lebih Melayu daripada orang Melayu” memang sedang menyusun strategi merebut jawatan itu dengan apa cara sekali pun.

Berwaspadalah, orang Melayu!

* Ini adalah pendapat peribadi penulis.

More Trending Videos

Trending Videos

Advertisement

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline