Bartholomew Chan

Bartholomew Chan adalah seorang pemerhati isu-isu semasa negara, ingin melihat prinsip kesederhanaan terus menjadi tunjang utama kepada pembangunan negara. Beliau percaya bahawa perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity) langkah terbaik untuk memacu Malaysia ke hadapan.

25 SEPTEMBER — Sebut sahaja St John’s Institution (SJI), perkara pertama yang terlintas dalam fikiran kebanyakan orang adalah seni bina bangunan sekolahnya yang unik.

Tersergam indah di tengah-tengah kota metropolitan Kuala Lumpur, seni bina bangunan berkonsepkan Grecian-Sepanyol itu menjadi tumpuan ramai kerana seni binanya yang istimewa berbanding dengan sekolah-sekolah biasa yang lain.

Tatkala usianya yang sudah mencecah 113 tahun, bangunan SJI nampaknya tidak pernah pudar dimamah usia. Sebaliknya, ia kelihatan terus gah berdiri di sebalik arus pembangunan yang pesat.

Bagi kalangan bekas pelajar dan guru-guru yang pernah berkhidmat di institusi tersohor itu, jelas terpancar kegembiraan dan nostalgik pada wajah-wajah mereka setiap kali melawat ke sekolah tersohor itu.

Di sinilah juga, begitu ramai Johannian berjaya yang dilahirkan sama ada dalam bidang sukan, hiburan, kewartawanan, politik dan akademik. Antaranya, Datuk Marina Chin dalam sukan olahraga, Adam Malik dalam sukan tenis, Allahyarham Tan Sri Ghani Minhat dalam sukan bola sepak, Farish Noor (akademik) dan yang terkini, Syafique Ridhwan Abd Malek (bowling). Dalam lapangan hiburan pula, SJI telah melahirkan ramai penghibur yang berbakat seperti Datuk Hans Isaac, Harith Iskander dan Afdlin Shauki.

Lebih membanggakan sekolah yang berusia 113 tahun itu turut menjadi pilihan untuk dijadikan lokasi penggambaran iklan oleh syarikat-syarikat tertentu. Hakikatnya, kecemerlangan sekolah St. John’s tidak terletak pada struktur bangunan itu semata-mata sebaliknya turut disertai dengan budaya sukan yang cemerlang sejak sekian lama.

Tidak berapa lama dahulu, SJI merupakan kuasa besar dalam bidang sukan. Dominasi skuad hoki sekolah di peringkat negeri sebagai contohnya digeruni oleh saingan terdekatnya, Anderson dan Victoria Institution. Begitu juga dengan kelibat skuad ragbinya yang turut dipantau rapat oleh seterunya, Setapak High School.

Justeru, dalam usaha mengekalkan kecemerlangan sekolah dalam bidang sukan. St John’s Alumni Association (SJAA) selaku peneraju utama baru-baru ini telah menggerakkan satu projek yang diberi nama Sports Facilities Development Programme atau ringkasnya SFDP.  Malahan, SFDP turut mendapat liputan media tempatan.

Difahamkan, idea untuk melaksanakan projek SFDP itu dicadangkan pada April 2016. Inisiatif SFDP yang turut mendapat sokongan Lembaga Pengelola Sekolah dan PIBG SJI merangkumi dua fasa pelaksanaan iaitu fasa pertama membabitkan penambahbaikan dan pengubahsuaian pada gelanggang badminton, bola tampar, bola keranjang, futsal dan sepak takraw. Sementara itu, fasa kedua pula melibatkan padang sekolah yang bakal menggunakan teknologi rumput tiruan.

Jelas melalui projek SFDP ini, para pelajar sekolah sedia ada akan berpeluang menikmati kemudahan sukan sekolah bertaraf antarabangsa melalui penggunaan teknologi permukaan sukan terkini, pemasangan jaring dan tiang serta wajah Baru untuk kemudahan sukan sekolah.

Menariknya, pihak sekolah turut berpeluang menikmati kemudahan sukan itu pada kos penyelenggaraan yang minimum. Ketika ini, projek SFDP memasuki fasa akhir dengan kerja-kerja penurapan gelanggang-gelanggang sudah pun siap dan kini menanti pemasangan jaring dan tiang pada gelanggang-gelanggang yang dimaksudkan.

Para pelajar sekolah St John’s Institution berserta dengan pelajar-pelajar dari enam buah sekolah lain di sekitar Bukit Nanas, Kuala Lumpur bakal menikmati kemudahan-kemudahan sukan bertaraf antarabangsa apabila Programme Pembangunan Kemudahan-Kemudahan Sukan Sekolah (SFDP) Fasa 1, siap sepenuhnya akhir September ini. — Foto oleh Bartholomew ChanPara pelajar sekolah St John’s Institution berserta dengan pelajar-pelajar dari enam buah sekolah lain di sekitar Bukit Nanas, Kuala Lumpur bakal menikmati kemudahan-kemudahan sukan bertaraf antarabangsa apabila Programme Pembangunan Kemudahan-Kemudahan Sukan Sekolah (SFDP) Fasa 1, siap sepenuhnya akhir September ini. — Foto oleh Bartholomew ChanSelepas siap nanti, kemudahan-kemudahan sukan bertaraf antarabangsa di SJI juga boleh diguna dan dimanfaatkan oleh enam buah sekolah di Bukit Nanas, Kuala Lumpur iaitu SK St John’s 1 & 2, SK Convent Bukit Nanas 1 & 2, SMK Convent Bukit Nanas and St John’s International School.

Dalam usaha membina sebuah pasukan sekolah yang mantap untuk acara-acara sukan di masa akan datang, SJAA juga mempertimbangkan cadangan untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama dengan beberapa penaja. 

Apa yang pasti, kesemua inisiatif yang dilaksanakan di atas mencerminkan kesungguhan SJAA dan pihak pengurusan sekolah dalam memastikan kecemerlangan sukan di SJI terus subur dan berkembang. Mudah-mudahan kemudahan-kemudahan sukan yang telah ditambah baik akan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh para pelajar.

Harapan SJI untuk melahirkan lebih ramai jaguh sukan bertaraf antarabangsa   bukan satu misi yang mustahil. Jika sebelum ini, SJI pernah melahirkan jaguh-jaguh handalan seperti Datuk James Selvaraj dalam sukan badminton ataupun Khairuddin Zainal dalam sukan hoki, maka tidak ada sebab mengapa misi ini tidak boleh diulangi kembali.

Berbekalkan iltizam, perancangan yang rapi dan sokongan tidak berbelah bahagi oleh semua pihak berkepentingan, misi tersebut akan dapat direalisasikan. Ibarat pepatah yang berbunyi: melentur buluh, biarlah dari rebungnya. 

Oleh yang demikian, misi untuk mengasah bakat-bakat terpendam harus bermula dari sekarang. Biarpun era dan senario sudah berbeza, namun matlamat ke arah mengekalkan legasi kecemerlangan sukan  tidak berubah.

Natijahnya, agenda pembangunan sukan tidak wajar dikesampingkan hanya semata-mata untuk mencapai kecemerlangan akademik yang dilihat lebih penting oleh segelintir. Realitinya, kecemerlangan akademik dan sukan saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.

Syabas diucapkan kepada SJAA dan pihak sekolah atas inisiatif murni itu. Mungkin impak daripada projek tersebut tidak dapat dirasai dalam tempoh terdekat, tetapi pastinya, generasi-generasi pelajar akan datang bakal merasai nikmat usaha yang telah dicurahkan oleh pihak yang berkenaan.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Trending Videos

Trending Videos

Advertisement

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline