Last updated -- GMT+8

Monday January 9, 2017
7:01 AM GMT+8

Advertisement

More stories

Bartholomew Chan

Bartholomew Chan adalah seorang pemerhati isu-isu semasa negara, ingin melihat prinsip kesederhanaan terus menjadi tunjang utama kepada pembangunan negara. Beliau percaya bahawa perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity) langkah terbaik untuk memacu Malaysia ke hadapan.

9 JANUARI — Awal pagi Selasa ini, sejarah bakal tercipta buat sukan bola sepak negara.

Biarpun sukan bola sepak negara masih berada dalam keadaan yang suram, namun demikian pencalonan salah seorang pemain tempatan negara untuk Anugerah Puskas FIFA 2016 sekurang-kurangnya membawa khabar gembira buat penyokong-penyokong tanah air bahawa masih ada sinar harapan untuk sukan nombor satu negara itu.

Menang atau kalah, nama Mohd Faiz Subri, penyerang bagi pasukan Pulau Pinang, akan terpahat dalam sejarah bola sepak negara sebagai pemain pertama negara yang dicalonkan untuk Anugerah Puskas, sebuah anugerah yang diperkenalkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) pada 2009 bertujuan menghargai para pemain baik kaum lelaki atau wanita untuk jaringan gol terbaik sepanjang tahun.

Jika jumlah hits diguna pakai sebagai petunjuk untuk pengundian Anugerah Puskas ini, petanda awal mendapati, peluang Faiz meraih Anugerah Puskas amatlah tinggi. Klip video tendangan percuma oleh Faiz yang dimuat naik dalam YouTube sudah pun mencecah lebih 2.3 juta hits sehingga pukul 3 petang semalam.

Jumlah hits tersebut jauh meninggalkan dua pencabar terdekat Faiz iaitu Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan Daniuska Rodriguez dari Venezeula, masing-masing hanya meraih lebih satu juta hits sahaja. Jika Faiz berjaya, nama beliau akan sebaris dengan personaliti-personaliti bolasepak terkenal dunia seperti Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic dan Neymar yang pernah meraih anugerah berprestij itu.

Mungkin ada antara anda yang bagaikan tidak percaya bahawa salah seorang pemain bola sepak negara telah disenarai pendek untuk Anugerah Puskas kali ini. Namun begitu, ia adalah satu realiti.

Selama ini, kita dimomokkan bahawa pemain-pemain dari negara membangun tidak mungkin dapat bersaing dengan pemain-pemain dari negara maju. Pemain-pemain dari negara membangun dilihat lemah, kurang ketahanan mental dan memiliki saiz badan yang lebih kecil. Kita juga sering kali dihujani dengan tanggapan bahawa pemain-pemain dari negara maju lebih baik.

Benarkah begitu?

Sekilas pandang, tohmahan dan label yang diberikan seperti itu sebenarnya tidak lain tidak bukan satu permainan minda. Kita seolah-olah terperangkap dalam permainan minda dan menjadi mangsa kepada kelemahan kita sendiri. Para pemain negara tidak harus berfikir bahawa mereka tidak setanding dengan Neymar, Ibrahimovic atau Ronaldo. Bukankah mereka menjalani latihan yang sama? Bukankah mereka juga mempunyai jurulatih?

Yang membezakan antara mereka dan pemain-pemain kita adalah sikap serta disiplin yang ditunjukkan. Untuk berjaya dalam apa jua bidang sekalipun, seseoang itu haruslah berdisiplin, komited dan tidak mudah berputus asa. Jika dikecewakan dan jatuh, bangkit semula. Tidak ada apa yang tidak boleh dicapai melainkan seseorang itu tidak mahu berusaha.

Sekiranya sudah berjaya, janganlah pula lupa diri sebaliknya terus berusaha untuk memperbaiki diri dari semasa ke semasa. Kejayaan yang dicapai tidak sewajarnya melalaikan mereka tetapi sebagai penyuntik semangat untuk terus melakukan yang terbaik.

Kita harapkan kejayaan Faiz ini akan memberikan keyakinan kepada para pemain lain bahawa kejayaan boleh dikecapi jika mereka berusaha bersungguh-sungguh. Tidak ada jalan pintas untuk mencapai sesuatu yang dihajatkan.

Dan kepada mereka yang meragui tendangan percuma Faiz yang begitu "cantik" itu, tendangan tersebut bukanlah mudah untuk diusahakan. Sesungguhnya, ia merupakan tendangan yang cukup berkualiti, bertaraf dunia dan ia dihasilkan oleh pemain bola sepak negara kita sendiri.

Walau apapun keputusannya nanti, kita patut berbangga dengan kejayaan Faiz Subri, anak Malaysia yang telah mengharumkan nama negara. Kejayaan sedemikian tidak berlaku selalu.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

MORE ON MMOTV

Advertisement

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline