Last updated Thursday, February 23, 2017 7:24 pm GMT+8

Monday August 15, 2016
7:57 AM GMT+8

Advertisement

More stories

Bartholomew Chan

Bartholomew Chan adalah seorang pemerhati isu-isu semasa negara, ingin melihat prinsip kesederhanaan terus menjadi tunjang utama kepada pembangunan negara. Beliau percaya bahawa perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity) langkah terbaik untuk memacu Malaysia ke hadapan.

14 OGOS — Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak baru-baru ini mengingatkan masyarakat supaya tidak dikuasai oleh sesetengah aplikasi teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). Sebaliknya, menurut Salleh, masyarakat perlu menguasai aplikasi berkenaan dan memanfaatkan teknologi yang ada untuk kebaikan bersama.

Apa yang disarankan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia kena pada masanya dan boleh dijadikan renungan kita bersama. Dan ini membawa kita kepada fenomena Pokemon Go yang melanda masyarakat di seluruh dunia, termasuk juga Malaysia.

Sejak permainan realiti tambahan tersebut dilancarkan pada awal Ogos yang lalu, saban hari ada sahaja berita-berita mengenainya terpampang di dada akhbar dan portal-portal berita dalam talian. Buruk dan baik semuanya ada.

Namun demikian, apa yang merunsingkan mengenai Pokemon Go ini ialah kegilaan para pemain yang nampaknya terlalu taksub dengan permainan berkenaan hinggakan mereka tidak menghiraukan keadaan di sekeliling dan keselamatan mereka.

Setiap hari ada sahaja laporan-laporan negatif disebabkan kecuaian pemain. Dari insiden kemalangan hinggalah melintas jalan secara merbahaya, memasuki kawasan larangan dan tempat-tempat beribadat dan kecederaan. Salah siapa?

Selain itu, banyak juga pihak yang membangkitkan isu keselamatan data pemain gara-gara kerana perlu mendaftar masuk menggunakan akaun Google yang membolehkan pihak yang membangunkan permainan itu menyemak dan memantau pemain menggunakan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS).

Hakikatnya, tidak salah untuk mana-mana individu bermain Pokemon Go. Akan tetapi, usahlah terlalu taksub bermain hingga keselamatan dan kerja hakiki anda terabai. Disebabkan terlalu ghairah untuk menangkap Pokemon, mereka sanggup melanggar peraturan dan mencetuskan situasi yang kurang diingini.

Sebagai seorang pemain Pokemon Go, para pemain ini perlulah menunjukkan kematangan dan sikap prihatin mereka terhadap keadaan di sekelilingnya. Pertama, jangan sesekali bermain sehingga boleh menganggu dan menjejaskan pergerakan orang awam. Kedua, fahami sensitiviti lokasi-lokasi tertentu yang mungkin tidak boleh dilalui biarpun lokasi-lokasi itu merupakan sebahagian daripada PokeStop umpamanya tempat-tempat beribadat. Ketiga, jangan menjadi hamba kepada permainan-permainan sebegini kerana ia tidak berbaloi sama sekali.

Apabila terbitnya laporan baru-baru ini yang melaporkan terdapat individu yang cedera gara-gara menangkap Pokemon, apakah perlu sampai ke tahap sedemikian? Kenapa perlu terlalu serius sehinggakan ini hanya satu permainan sahaja? Alangkah baik jika sikap taksub sebegini dapat diterjemahkan di tempat kerja kita.

Apapun, pihak berkuasa sudah pun mengeluarkan garis panduan keselamatan umum berhubung permainan Pokemon Go. Garis panduan yang dikeluarkan nampaknya komprehensif dan kini terpulanglah kepada para pemain sama ada untuk mematuhi atau meneruskan tabiat buruk mereka.

Jangan pula selepas ini kedengaran pula aduan dan kritikan daripada pemain terhadap pihak berkuasa kerana gagal memastikan keselamatan mereka.

Penulis bukanlah peminat tegar permainan Pokemon Go jauh sekali seorang gamer.  Bagaimanapun, jika diberikan pilihan, penulis akan lebih berwaspada dan sederhana ketika bermain permainan yang dimaksudkan. Sebenarnya, ada banyak perkara yang lebih penting daripada bermain Pokemon Go umpamanya memberikan tumpuan kepada kerjaya, kesihatan dan meluangkan masa yang berkualiti dengan ahli keluarga tersayang.

* Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online.

MORE ON MMOTV

Advertisement

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline