Monday June 19, 2017
7:00 AM GMT+8

Advertisement

More stories

Bartholomew Chan

Bartholomew Chan adalah seorang pemerhati isu-isu semasa negara, ingin melihat prinsip kesederhanaan terus menjadi tunjang utama kepada pembangunan negara. Beliau percaya bahawa perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity) langkah terbaik untuk memacu Malaysia ke hadapan.

JUN 19 —  Ahad depan, umat Islam di seluruh dunia bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri selepas sebulan berpuasa.

Tidak lama selepas itu, pada bulan Oktober dan Disember nanti, masyarakat Hindu akan merayakan Deepavali manakala penganut Kristian pula menyambut Hari Natal.

Dalam kesibukan masyarakat berbilang kaum di negara ini meraikan perayaan masing-masing, barangkali satu budaya ataupun tradisi yang kian dilupakan dewasa ini.

Tradisi yang dimaksudkan itu ialah menghantar kad ucapan secara terus kepada rakan-rakan mahupun kenalan rapat seseorang. Dengan kecanggihan teknologi dan pengaruh media sosial, trend menghantar kad ucapan semakin tidak popular dan digantikan dengan menghantar ucapan melalui SMS, WhatsApp ataupun kad ucapan elektronik.

Ada beberapa sebab mengapa masyarakat memilih untuk menggunakan media sosial menghantar kad ucapan mutakhir ini. Antaranya, menjimatkan masa dan kos. Selain itu, pendekatan tersebut dikatakan lebih efektif kerana jangkauannya lebih luas. Tidak kurang juga, cara tersebut lebih popular dan merupakan trend masa kini.

Bagaimanapun, di sebalik trend yang semakin menjadi ikutan ramai itu, trend menghantar kad ucapan secara langsung atau melalui pos tidak harus diketepikan begitu sahaja. 

Sebagai seorang yang pernah menghantar kad ucapan kepada guru-guru sekolah, rakan-rakan sekerja dan sahabat handai sejak sekian lama, trend sedemikian sebenarnya memberikan pengertian yang signifikan. 

Daripada satu sudut, tradisi menghantar kad ucapan secara langsung memperlihatkan keikhlasan si pengirim dalam menyampaikan mesej kepada si penerima. Bagi sesetengah individu, tindakan menghantar kad ucapan sebenarnya mencerminkan si pengirim amat mengutamakan sentuhan peribadi atau personal touch manakala yang lain pula menganggapnya mempunyai nilai sentimental.

Apabila bercakap mengenai sentuhan peribadi, tindakan itu secara tidak langsung memberikan mesej kepada si penerima bahawa si pengirim itu amat mementingkan perkara-perkara yang spesifik biarpun ada kalanya kita mungkin terlepas pandang dan merasakan tidak penting.

Disebabkan kita terlepas pandang terhadap sesuatu perkara yang spesifik, jalinan persahabatan renggang begitu sahaja. Tidak kurang juga, pihak tertentu yang mungkin memandang serong terhadap keikhlasan dan kejujuran kita dalam melakukan sesuatu urusan. Aspek ini sebenarnya mengajar kita semua bahawa kealpaan dalam memberikan perhatian kepada perkara-perkara spesifik boleh mengundang kesudahan yang berlainan.

Kepada mereka yang masih belum menghantar kad raya kepada sahabat handai ataupun saudara-mara terdekat, anda masih mempunyai masa berbaki seminggu untuk berbuat demikian. Cuba lakukan eksperimen menghantar kad ucapan dengan menggunakan media sosial dan melalui pos. 

Jika berkesempatan, amati reaksi yang diberikan oleh si penerima dalam kedua-dua situasi. Teliti apa yang diperkatakan oleh si penerima dan anda akhirnya akan faham mengenai mesej utama yang cuba disampaikan dalam artikel ini.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

MORE ON MMOTV

Advertisement

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline