Bartholomew Chan

Bartholomew Chan adalah seorang pemerhati isu-isu semasa negara, ingin melihat prinsip kesederhanaan terus menjadi tunjang utama kepada pembangunan negara. Beliau percaya bahawa perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity) langkah terbaik untuk memacu Malaysia ke hadapan.

14 OGOS — Ada dua perkara yang sering kali menjadikan seseorang manusia itu lupa diri. Pertama, duit dan yang kedua, kuasa atau pangkat yang dimiliki.

Tidak ramai yang sedar bahawa kedua-dua perkara itu bukanlah sesuatu yang kekal tetapi lebih bersifat sementara. Pun begitu, di sebalik sifatnya yang sementara, manusia masih terbawa-bawa dengan manfaat yang dibawanya.

Dengan adanya duit, seseorang itu boleh melakukan apa sahaja. Nak beli kereta Porsche? Nak beli rumah agam? Ataupun nak melancong ke serata dunia? Semuanya boleh. Malah, jika seseorang itu memiliki duit yang banyak, beliau juga boleh melakukan sesuatu yang adakalanya di luar jangkaan masyarakat. 

Dengan adanya kuasa pula, seseorang itu akan diangkat, disanjung dan dikerumuni oleh golongan individu yang menganggap diri mereka sahabat kepada individu yang dimaksudkan. Kuasa yang dimiliki juga membolehkan seseorang itu melaksanakan sesuatu keputusan penting tanpa was-was.

Akan tetapi, kuasa yang dimiliki juga boleh melalaikan dan mengubah karakter seseorang individu. Daripada karakter atau perwatakannya yang lemah-lembut, tiba-tiba menjadi karakter yang bengis ataupun karakter yang pentingkan diri sendiri. Segalanya adalah berkemungkinan.

Bagaimanapun, duit dan kuasa bukanlah segala-galanya. Apa guna ada duit yang lebih jika kesihatan tidak terpelihara? Apa guna ada kuasa jika kuasa tidak digunakan untuk melakukan perkara yang bermanfaat?

Berbicara mengenai kedua-dua perkara itu, adalah penting kepada kita semua bahawasanya prinsip integriti perlu ditegakkan. Jangan sesekali kerana kuasa dan duit, integriti diabaikan begitu sahaja. Sebaliknya, sebarang tindak-tanduk dan keputusan yang diambil wajar mengambil kira norma-norma masyarakat dan tidak bertentangan dengan undang-undang negara.

Ya, mungkin ada yang berpendapat bahawa dengan adanya kuasa dan duit, mereka akan dihormati. Tetapi apa yang mereka tidak sedar adalah penghormatan yang diberikan bukanlah penghormatan yang tulen sebaliknya penghormatan yang kosong.

Hakikat, penghormatan yang sebetul-betulnya ialah mereka yang mempunyai jati diri dan integriti. Ingat, integriti mencerminkan keperibadian seseorang. Dalam kehidupan, kita dinilai bukan berdasarkan kepada harta kekayaan tetapi iman dan tingkah laku kita.

Mudah-mudahan dalam dunia yang penuh kepalsuan, kita tidak mudah lupa diri dan melupakan tuntutan agama masing-masing.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Trending Videos

Trending Videos

Advertisement

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline